Ubah suai van pelancong jadi ambulans, bantu hal kecemasan COVID-19 - TPM

Umavathi Ramayah
Ogos 6, 2021 10:33 MYT
Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. - Foto BERNAMA
SERDANG: Kerajaan akan menambah 100 buah ambulans di bawah Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley dengan mengubahsuai van pelancong bagi membantu kes-kes kecemasan membabitkan COVID-19 terutama di Lembah Klang.
Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam masa terdekat.
"Kita juga mendengar mengenai kelewatan ambulans mengambil pesakit di rumah. Oleh itu kerajaan bersetuju untuk menambah 100 lagi van seperti ambulans di mana kita akan mengubahsuai van biasa menjadi ambulans," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRCB) Taman Pertanian Agro Malaysia Serdang (MAEPS) Serdang, di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, inisiatif itu diambil kerajaan selepas mengambil kira industri pelancongan terjejas teruk sejak berlakunya pandemik.
"KKM akan bincang dengan MOTAC termasuk terma dan syarat bayaran dan sebagainya. Itu bersama-sama van dan pemandu," jelasnya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menggerakkan 1,000 anggota bagi membantu perjalanan PKRCB MAEPS.
"Sejumlah 750 daripada mereka akan membantu perkara-perkara yang berkaitan dengan oksigen dan selebihnya urusan logistik," jelasnya.
#ismail sabri yaakob #Timbalan Perdana Menteri #TPM #van pelancong #Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley #COVID-19 #Ismail Sabri #pelancongan #Ambulans