AHAD pagi ini akan menyaksikan pertembungan di antara dua juara UFC - Khabib Nurmagomedov dengan Justin Gaethje bagi merebut takhta divisyen lightweight.

Pertarungan bagi menyatukan gelaran lightweight UFC itu bakal berlangsung di Yas Island, Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Khabib, selaku penyandang kejuaraan tersebut akan berdepan Gaethje yang merupakan juara lightweight interim dalam acara utama UFC 254 itu.

Jika Khabib berjaya dalam pertarungan tersebut, dia mampu menempa nama untuk menjadi petarung terbaik dalam divisyennya.

Perkara itu diakui sendiri oleh Presiden UFC Dana White menerusi kenyataannya baru-baru ini.

“Jika dia mengalahkan Justin, dia adalah petarung ‘pound-for-pound’ nombor satu dunia… dia bakal menjadi antara petarung terhebat sepanjang zaman (greatest of all time),” katanya.

Meskipun begitu, menurut White, dalam gelanggang Octagon nanti sebarang kemungkinan boleh berlaku.

Ini kerana, ramai juga yang percaya Gaethje mempunyai ‘style’ yang diperlukan untuk menewaskan Khabib kerana dia pernah menumpaskan nama-nama yang disegani seperti Donald 'Cowboy' Cerrone dan Tony Ferguson.

“Ia mempunyai 'bahan' yang diperlukan untuk menjadi pertarungan yang besar,” kata White lagi.

Khabib, 32, pada mulanya dijadualkan bertemu Ferguson dari Amerika Syarikat pada 18 April lalu.

Namun, dia terpaksa membatalkan hasrat itu kerana tidak dapat meninggalkan negaranya, Rusia susulan sekatan perjalanan yang dikenakan akibat penularan pandemik COVID-19.

Khabib kemudiannya digantikan dengan Gaethje, 31, yang juga dari Amerika Syarikat.

Dalam aksi UFC 249 yang berlangsung pada 10 Mei lalu, Gaethje telah berjaya menewaskan Ferguson menerusi TKO pada pusingan kelima, sekali gus meraih kejuaraan interim lightweight.

Kemenangan itu melayakkan Gaethje untuk bertemu Khabib selaku juara lightweight UFC sebenar.

Khabib mempunyai rekod profesional MMA dengan 28 kemenangan tanpa kalah, sementara Gaethje pula memegang rekod 22 kemenangan dengan dua kekalahan.