JUARA featherweight UFC, Alexander Volkanovski berjaya mengekalkan kejuaraannya selepas menewaskan Brian Ortega dalam acara utama UFC 266 sebentar tadi.

Petarungan yang berlangsung di T-Mobile Arena, Las Vegas itu menyaksikan Volkanovski dari Australia mengalahkan lawannya dari Amerika Syarikat menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision).

Ini merupakan ‘title defence’ yang pertama buat Volkanovski, 32 selepas merampas kejuaraan dari Max Holloway, seorang petarung ‘favourite’ dalam kelas featherweight, tahun lalu.

BACA: UFC 245: Max Holloway gagal pertahankan kejuaraan featherweight

Dengan keputusan terbaharu ini, Volkanovski kini memegang rekod profesional MMA sebanyak 23 kemenangan dan satu kekalahan (23 -1).

Sementara itu, dalam ‘co-main event’ pula, juara flyweight wanita UFC Valentina Shevchenko sekali lagi mengekalkan gelaran dunianya selepas menewaskan Lauren Murphy.

Shevchenko, 33, dari Kyrgyzstan menumpaskan petarung dari Amerika Syarikat itu menerusi ‘technical knockout’ (TKO) pada pusingan keempat.

Ini merupakan kali keenam Shevchenko berjaya mempertahankan kejuaraannya.

Kali terakhir ialah apabila dia menewaskan Jessica Andrade dalam acara UFC 261 pada April lalu.

Kemenangan ini melebarkan rekod profesionalnya kepada 22 kemenangan dan tiga kekalahan (22 - 3).

BACA: UFC 255: Valentina Shevchenko kekalkan kejuaraan untuk kali keempat

Berikut merupakan keputusan penuh pertarungan lain dalam kad utama:

- Nick Diaz tewaskan Robbie Lawler (TKO minit 0:44 pusingan 3)

- Curtis Blaydes tewaskan Jairzinho Rozenstruik (Keputusan sebulat suara, minit 5:00 pusingan 3)

- Jessica Andrade tewaskan Cynthia Calvillo (TKO, minit 4:54 pusingan 1)