UFC 267 yang akan berlangsung pada hujung minggu ini sudah pasti membuatkan peminat seni bela diri campuran (MMA) dan pengikut UFC tertunggu-tunggu.

Dijadualkan berlangsung di Etihad Arena, Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), acara ini bakal menyaksikan dua kejuaraan dipertaruhkan serta barisan petarung yang berstatus bintang beraksi.

Acara utama menyaksikan juara kelas light heavyweight Jan Blachowicz (28-8), bakal dicabar oleh Glover Teixeira (32-7) yang juga merupakan petarung yang menduduki ranking pertama dalam kelas berat yang sama.

Ini merupakan kali kedua Blachowicz yang berasal di Poland mempertahankan kejuaraan miliknya sejak bergelar juara light heavyweight pada September 2020.

Blachowicz yang kini berusia 38 tahun dilihat sebagai 'favourite' untuk tampil sebagai pemenang kerana usia Teixeira yang telah pun menjangkau 41 tahun.

Namun di sebalik usia, Blachowicz tidak boleh memandang ringan terhadap kemampuan lawannya.

Aktif sebagai petarung MMA sejak tahun 2002, Teixeira yang berasal dari Brazil ternyata mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam pertarungan MMA pada peringkat tertinggi.

Ini bukan kali pertama Teixeira bertarung dalam pertarungan merebut kejuaraan. Dia sebelum ini pernah mencabar Jon Jones pada tahun 2014 yang pada ketika itu juara bagi kelas light heavyweight.

Teixeira walau bagaimanapun tewas menerusi keputusan sebulat suara juri.

Di acara kedua utama pula, UFC menyajikan aksi pertarungan bagi merebut gelaran juara interim bagi kelas bantamweight antara Petr Yan (15-2) dan Cory Sandhagen (14-3).

Keputusan bagi mengangkat juara interim adalah akibat kecederaan yang di alami penyandang gelaran, Aljamain Sterling sekali gus memaksanya menarik diri dari bertarung.

Seperti mana setiap pertarungan bagi gelaran juara interim yang pernah berlangsung sebelum ini, pemenang pertarungan antara Yan dan Sandhagen akan mencabar Sterling apabila dia kembali pulih kelak.

Ini bagi menyatukan kembali gelaran kejuaraan kelas bantamweight dan menobatkan seorang petarung sebagai juara kelas bantamweight tanpa sebarang pertikaian.

Dua pertarungan kejuaraan sebenarnya sudah cukup kuat untuk UFC meneruskan acara mereka. Tapi sebagai meraikan 'kepulangan' mereka di 'Fight Island', UFC bakal menyajikan banyak lagi pertarungan antara nama-nama besar mereka.

Antara yang di tunggu-tunggu adalah pertarungan antara jaguh MMA Dagestan, Islam Makhachev (20-1) dan bintang dari New Zealand, Dan Hooker (21-10).

Makhachev yang disebut-sebut sebagai pengganti Khabib Nurmagomedov, sepatutnya mencabar Rafael dos Anjos. Namun, sekali lagi pertarungan tersebut terpaksa dibatalkan akibat kecederaan.

Hooker bertindak menawarkan diri sebagai pengganti dos Anjos untuk mencabar Makhachev, walaupun baru sahaja bertarung pada September lepas.

Ini membuatkan rata-rata peminat UFC memuji tindakan Hooker kerana bersetuju menentang Makhachev walaupun dalam tempoh notis yang singkat.

Satu lagi bintang baru UFC yang bakal membuat kemunculan adalah Khamzat Chimaev (9-0).

Petarung yang berasal dari Chechnya itu akan kembali bertarung setelah terpaksa berehat panjang akibat dari kesan sampingan Covid-19.

Kali terakhir Chimaev bertarung adalah ketika menentang Gerald Meerschaert pada bukan September 2021, lebih setahun yang lalu.

Kali ini Chimaev bakal dicabar petarung berpengalaman dari China, Li Jingliang (18-6) dalam kelas berat welterweight.

Selain dari itu, pertarungan yang turut dinantikan adalah seperti pertarungan Alexander Volkov menentang Marcin Tybura dalam kelas heavyweight, Amanda Ribas menentang Virna Jandiroba dalam kelas strawweight wanita dan Ricardo Ramos menentang Zubaira Tukhugov dalam kelas featherweight.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan acara UFC 267 secara langsung dan esklusif di Astro SuperSport 5 (saluran 815) pada 30 October bermula 11:30 malam bagi acara 'premilinary card'.

Bagi pertarungan di 'main card', ianya akan berlangsung pada 31 October bermula 2:00 pagi di saluran yang sama.