KUALA LUMPUR: "Kamu cuba nak rampas (Kerajaan Perpaduan)? Silakan. Tetapi itu tidak mudah. Kita siap dengan keris," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Nasional Khas PKR hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menyuarakan pendirian bahawa beliau tidak gentar dengan sebarang ugutan untuk menyiasat penyelewengan dan rasuah.

Terdahulu, bercakap selaku Presiden PKR, beliau menegaskan, jika ada yang mahu menghalang penyiasatan terhadap sebarang salah guna kuasa, individu berkenaan disifatkan telah 'tersilap' memilih Perdana Menteri.

"Kita buat siasatan. Kononnya, (dikatakan) ada tindakan berbaur politik. Apa beza selama ini? Selama ini, kuasa politik itu melindungi penjenayah besar, kuasa politik itu melindungi kuasa-kuasa besar, mengkayakan beberapa penguasa dan digunakan kuasa itu untuk melindungi mereka dan menentang rakyat.

"Kita akan gunakan kuasa itu melindungi rakyat dan menyerang para perasuah. Ini gelanggang saya, PKR. Empat bulan saya bersabar, saya bicara secara tertib sebagai seorang Perdana Menteri. Hari ini saya bicara sebagai Presiden Keadilan, gerakan reformasi.

"Saudara mahu ugut kita dengan perhimpunan, mahu ugut (supaya) kita takut bertindak dengan perasuah? Saudara salah pilih seorang Perdana Menteri. Saya tak akan takut ugutan itu. Ada kuasa, kita laksanakan," katanya ketika berucap pada perasmian Kongres Nasional Khas 2023 Malaysia Madani: Pelaksanaan Sebuah Idealisma di Stadium Malawati, di sini, hari ini.

'Tauke-tauke' besar tak boleh lepas daripada bayar cukai - Anwar

Mengulas lanjut, Anwar yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov tahun lalu berkata, beliau tidak akan 'melepaskan' mana-mana pihak yang menggunakan kuasa untuk mengaut keuntungan, atau 'tauke-tauke' besar yang menyorok kekayaan di luar negara, termasuk yang didakwa lari daripada membayar cukai.

Jelas beliau yang juga Menteri Kewangan, usaha tersebut bukan hanya terletak di bahunya, tetapi ia melibatkan seluruh Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

Kerajaan Perpaduan juga, kata Anwar, bukan membawa agenda 'kekeluargaan atau kroni' semata-mata, sebaliknya mempertahankan agenda rakyat berbilang bangsa, tanpa mengabaikan hak Bumiputera.

"Ada orang sekarang, setelah 22 tahun, campur 22 bulan jadi berkuasa, sekarang mengeluh. Melayu hilang segala-galanya? Hilang harta, hilang saham. Bagaimana saja hilang kalau kamu bolot untuk keluarga dan anak-anak kamu?

"Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat. Jangan perbodohkan rakyat. Rakyat harus bangkit mempertahankan hak mereka.

"Kumpulkan.. tonton... Tan Sri-Tan Sri, tauke-tauke besar, berapa kerap orang sekarang merencana untuk mengugat dan menggunakan sentimen kaum, mengajak orang-orang Melayu membenci kepada kaum-kaum lain dan menyatakan kuasa hilang.

"Kamu pegang tampuk kepimpinan kuasa termasuk kerajaan tiga tahun baru-baru ini, mana Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355)?," soal Anwar.

Walaupun beliau tidak menyebut nama, ia dipercayai merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini dilaporkan memberi amaran bahawa kaum Melayu akan hilang kuasa sepenuhnya di negara ini selepas dua kali pilihan raya umum (PRU) kelak.

Peringatan itu disuarakan Dr Mahathir ekoran suasana politik ketika ini yang dakwanya menyaksikan kekuatan dominan bangsa pribumi Melayu semakin teruk terhakis selepas PRU15.