KUALA LUMPUR: Ahli akademik dan pakar dalam bidang ekonomi, Profesor Jomo Kwame Sundaram dikurniakan gelaran Profesor Emeritus pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) ke-60, hari ini.

Istiadat berkenaan telah diisytiharkan pembukaannya oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Canselor universiti itu.

UM dalam satu kenyataan berkata, Jomo yang banyak menyumbang jasa kepada dunia pendidikan dalam dan luar negara, memulakan bidang akademiknya pada tahun 1974 apabila dilantik sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM).

Perkhidmatan beliau sebagai ahli akademik diteruskan di beberapa universiti ternama dunia seperti di Harvard University dan Yale University.

"Sekembali beliau dari luar negara, perkhidmatan beliau diteruskan di UM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

"Sepanjang karier beliau sebagai ahli akademik, Profesor Jomo aktif menghasilkan buku, artikel dan kertas kerja yang diterbitkan dalam pelbagai jurnal ilmiah berindeks ISI, Scopus dan jurnal berwasit lain.

"Beliau turut menyunting dan menterjemahkan ratusan buku selain menyumbang penulisan di dalam media," kata kenyataan itu.

Sumbangan dan kepakaran beliau bagi pembangunan ekonomi negara adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan sama sekali.

Istiadat Konvokesyen UM ke-60 meraikan 5,276 graduan dalam norma baharu bermula 20 hingga 27 November 2021 dan berlangsung dalam 13 sidang.

Istiadat Konvokesyen kali ini diadakan setelah sektor ekonomi negara dibuka semula.