Umat Islam di Bangladesh, India dan Pakistan mula berpuasa pada Selasa

Bernama
Mac 11, 2024 23:30 MYT
Umat Islam mengerjakan solat tarawih pada malam 1 Ramadan di Masjid Fatih, Istanbul, Turkiye, 11 Mac 2024. (Foto AP)
NEW DELHI: Umat Islam di Bangladesh, India dan Pakistan akan mula berpuasa dalam bulan Ramadan pada Selasa selepas anak bulan kelihatan pada Isnin.
Mesyuarat Jawatankuasa Melihat Bulan Kebangsaan Bangladesh dipengerusikan Menteri Hal Ehwal Agama Faridul Haque Khan, sementara pertubuhan Islam terkemuka di India mengesahkan anak bulan itu telah kelihatan.
Arab Saudi mengumumkan anak bulan kelihatan pada Ahad dan Isnin merupakan hari pertama Ramadan, bulan kesembilan dalam Kalendar Hijrah.
Kebanyakan penduduk di dunia Arab dan Turkiye mula berpuasa pada Isnin dan anak bulan juga kelihatan di Maldives pada Ahad.
Umat Islam digalakkan untuk melakukan solat sunat Tarawih dan berusaha menjadi seorang yang warak, sabar dan bersedekah pada bulan yang menyaksikan wahyu pertama daripada al-Quran diturunkan.
Muslim yang beriman di seluruh dunia berpuasa semasa Ramadan dan tidak makan dan minum serta menjauhi perkara yang dilarang dan boleh membatalkan puasa dari subuh hingga ke senja.
-- BERNAMA
#Bangladesh #India #Pakistan #Ramadan 1445H #jendela ramadan