KUALA LUMPUR: Agama Islam dilihat sebagai inspirasi sekali gus sebuah agama yang indah dan sempurna malah dipandang tinggi masyarakat beragama lain.

Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti menekankan pendekatan konsep Ta’ayush atau dalam bahasa latin, ‘Convivencia’ yang membawa maksud ‘Kehidupan Bersama’ perlu diikut rapat di negara ini.

Dr Afifi yang merupakan anak Melayu pertama menjadi felo dan pensyarah tetap di Universiti Oxford memaklumkan umat Islam di negara ini juga perlu memahami konsep Ta’ayush sebenar.

“Convivencia merujuk kepada ‘Kehidupan Bersama’ di kalangan masyarakat berbilang agama termasuk Islam, Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain untuk meluaskan interaksi dan kepelbagaian budaya (multiculturalism) yang dipupuk melalui konsep Ta'ayush. Maksudnya umat Islam di Malaysia harus bersifat matang iaitu belajar untuk ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’.

“Hal ini termasuklah dalam budaya politik di Malaysia. Contohnya, saya ambil konteks senario politik masa kini. Mungkin ijtihad Barisan Nasional (BN) betul dalam perkara A. Tetapi kita tidak menolak kemungkinan polisi Pakatan Harapan (PH) juga betul dalam perkara B, manakala ijtihad Perikatan Nasional (PN) mungkin juga betul dalam perkara C.

“Sebab niat ijtihad dan keputusan semua parti politik adalah sesuatu yang subjektif dalam menerokai kemaslahatan masyarakat hari ini. Hakikatnya, tiada satu parti yang mempunyai monopoli kebenaran di sini dan sebagai umat Islam, kita semua mencari keredaan Allah SWT,” katanya yang menerangkan konsep Convivencia yang perlu dipraktikkan di negara ini.

Ujar beliau, Ta’ayush atau Convivencia adalah sebahagian adab ikhtilaf agama Islam dengan menerima perbezaan pendapat dari beberapa mazhab berbeza dan pentingnya untuk berlapang dada atau bertolak ansur agar satu keputusan dasar atau polisi itu dapat dicapai.

Dr Afifi yang dinobatkan sejak tahun 2010 dalam senarai tahunan 500 orang Islam yang paling berpengaruh di dunia ditemui di sesi perkongsian ‘LA CONVIVENCIA’ di kalangan masyarakat Andalusia dan kehidupan bersama secara aman di Malaysia, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau mengambil contoh kehidupan masyarakat majmuk semasa pemerintahan Islam di Andalusia yang membawa rahmat besar kepada masyarakat Eropah zaman pertengahan. Ini kerana mereka telah berpeluang mempelajari pelbagai bidang ilmu pengetahuan sains dan agama.

“Kehadiran Islam di Andalusia membuka pintu kepada masyarakat Eropah untuk mengenal erti tamadun (pengenalan ilmu sains, malah cara berpakaian mengikut musim atau tatasusila ketika makan) setelah zaman gelap Sepanyol. Umat Islam Andalusia memberi sumbangan dari segi ketamadunan, spiritual, fizikal dan pemikiran terhadap peradaban dan tamadun barat.

“Di bawah pemerintahan kerajaan Muslim di Sepanyol, orang Yahudi dan Kristian bebas mengamalkan agama mereka. Sebenarnya sama ada kita sedar atau tidak sebagai rakyat Malaysia pendekatan Convivencia atau Ta'ayush ini sudah termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia: "Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan."

“Sepanyol menjadi saksi bahawa sikap toleransi antara agama khususnya Islam, Yahudi dan Kristian dibuktikan di bawah pentadbiran umat Islam. Malaysia, seperti Andalusia juga, boleh menjadi satu negara Islam yang bertauladan dalam mewujudkan 'Kehidupan Bersama' atau Convicencia masyarakat majmuk pada zaman moden hari ini,” tambahnya.