BUKIT GANTANG: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) kerana dibimbangi memberi ancaman berbahaya kepada keselamatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata, pihaknya berterima kasih atas tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menahan ketua ajaran itu awal pagi semalam.

"Terima kasih kepada PDRM telah bertindak pantas untuk membawa mereka kepada pengadilan. Ia bukan sahaja isu agama tetapi juga melibatkan keselamatan negara.

"Kita keluarkan satu kenyataan bahawa bahayanya ancaman ajaran ini," katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir dari tiga perkampungan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan jabatan agama Islam setiap negeri bagi memantau pergerakan pengikut-pengikut kumpulan yang menyeleweng daripada ajaran sebenar.

Katanya umat Islam di negara ini dinasihatkan mempelajari agama secara kelompok daripada masjid dan surau yang merupakan medium jelas serta dipantau oleh jabatan agama sekali gus mengelakkan terlibat dengan ajaran yang diadakan di tempat tersembunyi.

"Mengaji di tempat tersembunyi seperti di atas bukit tidak sepatutnya berlaku dan kita kena guna rasional akal kita kenapa tidak dibuat di masjid dan surau, jadi perkara ini patut difahami.

"Jangan percaya dan terpengaruh dengan ajaran yang pelik tetapi kita perlu rujuk kepada pejabat agama masing-masing atau imam untuk sahkan sama ada ajaran itu betul atau tidak," katanya.

Awal pagi semalam, polis menahan seorang wanita berusia 39 tahun yang merupakan ketua ajaran PMYT di kediamannya di Shah Alam, Selangor.

Sebelum ini, tular dalam media sosial seorang wanita dengan gelaran Sittah Annur dikaitkan dengan ajaran sesat PMYT mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah dan memimpin pasukannya mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.

Wanita terbabit juga mendakwa dirinya mempunyai keistimewaan dan berupaya membuat ramalan berkaitan apa yang akan berlaku pada masa depan.

-- BERNAMA