Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyarankan umat Islam di negara ini untuk mencari titik pertembungan dan persamaan walaupun berbeza pendapat dan ideologi supaya dapat menunjuk contoh yang baik kepada masyarakat bukan Islam.

Beliau berkata pemikiran yang menjurus kepada perpecahan dan permusuhan hendaklah diganti dengan nilai yang seimbang dan saksama.

"Kita mestilah mengambil sikap berbaik sangka dan jangan menokok tambah cerita-cerita yang sampai dan perlu memikirkan natijah buruk atau baik," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali Ke-56 di Dewan Besar Balai Islam Kompleks Islam Darul Naim, Lundang di sini Isnin malam.

Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub dan isteri Datin Siti Zabidah Abdul Hamid dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Perdana Menteri berkata sesungguhnya Islam mencela golongan pengadu domba yang sentiasa berusaha mencipta api permusuhan hingga membakar dan meleyapkan ikatan ukhuwah sesama umat Islam.

Beliau juga mengajak umat Islam sama-sama memelihara dan memartabatkan kesucian Islam dan memperteguhkan kesepakatan untuk mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.

Katanya perpecahan hanya akan merugikan umat Islam dan memberi ruang kepada orang lain mengambil kesempatan di atas kelemahan mereka.

"Persiapan diri yang kukuh dalam pegangan agama perlu untuk kita menghadapi apa jua cabaran mendatang, di samping mengupayakan diri sangat penting untuk kita menilai kekuatan dan kelemahan yang dimiliki ke arah memartabatkan Islam di muka bumi Malaysia ini.

"Marilah kita bersama-sama memastikan apa yang terlimpah dan tercurah ke atas kita dan negara ini akan kekal berkesinambungan. Perpaduan kita teruskan dan dalam masa yang sama, kita menolak sekeras-kerasnya apa jua tindakan dan cubaan pihak-pihak yang memperlekehkan institusi raja dalam kancah politik yang keterlaluan," katanya.

Perdana Menteri berkata umat Islam wajib mempertahankan khalifah agong kita Nabi Muhammad S.A.W, perlembagaan dan institusi raja yang telah menjadi asas kepada tertubuhnya negara Malaysia yang bertamadun lagi berdaulat.

Najib juga berkata negara ini bertuah kerana memiliki infrastruktur yang sistematik untuk mengurus dan menjana pengurusan Islam dan mempunyai potensi besar meneruskan pembangunan sebuah tamadun besar berpaksikan Islam.

Mengenai tema Majlis Tilawah Al-Quran tersebut iaitu 'Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah', Perdana Menteri berkata ia mengajak umat Islam untuk mencontohi pendekatan wasatiyah dan seimbang yang dipelopori Rasullullah S.A.W.

Beliau berkata melalui konsep wasatiyah itu dan pendekatan islah, Malaysia muncul sebagai negara Islam yang maju dan perpaduan rakyatnya diterjemahkan melalui hubungan baik dengan negara Islam.

Perdana Menteri turut menyeru masyarakat Islam agar sentiasa mengagungkan Al-Quran iaitu daripada menghafal, membaca dan mendapatkan pahala daripadanya kepada mendalami ayat dan pengajarannya untuk dimanfaatkan seluruh umat Islam.

Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan yang bermula hari ini sehingga 14 Jun membabitkan 29 peserta dari seluruh negara, termasuk Kelantan yang pertama kali dalam tempoh 23 tahun diperintah kerajaan PAS, menghantar peserta wanita.

Pastikan anda tidak terlepas berita terkini. Muat turun aplikasi percuma AstroAWANI di App Store dan Google Play.