KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan parti itu akan terus memberi peluang kepada muka baharu untuk menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.

Mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, beliau berkata, pendekatan parti dalam memberi ruang buat muka baharu membuktikan UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin.

Bahkan, katanya, tindakan itu juga memperlihatkan kesiapsiagaan parti orang Melayu itu untuk memastikan obor perjuangan parti terus semarak bagi tahun-tahun mendatang.

“Inilah kedinamikan politik UMNO. Kita sentiasa bersedia membuat anjakan agar sesuai dengan tuntutan semasa.

“Kini, jumlah pengundi muda berusia bawah 40 tahun melebihi 12 juta orang atau mewakili 58 peratus daripada jumlah keseluruhan 21 juta pengundi.

“Apakah UMNO tidak cakna akan perkara ini? Apakah kita yang telah bertapak dan menjadi wakil rakyat sejak lima, enam, tujuh atau lapan penggal, masih merasakan ini zaman kita lagi?” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022 di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beberapa pendekatan termasuk pindaan Perlembagaan yang dicadangkan dapat memberi ruang kepada UMNO untuk mengorak langkah dan menyusun strategi berkesan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Ini adalah amanah dan tanggungjawab kita kepada kelangsungan parti.

“Ia juga menuntut kita semua untuk berlapang dada dan berjiwa besar bagi memastikan UMNO terus mekar menuju ke satu abad perjuangannya,” ujar beliau lagi.