Kesetiaan kepada UMNO bukan bermakna ahli-ahli dipaksa sewenang-wenangnya patuh kepada pucuk pimpinan khususnya kepada presiden parti.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menegaskan, ia sekali gus membuktikan UMNO bukan parti diktator selain selama ini memilih pemimpin mengikut acuan demokrasi.

"UMNO pilih pemimpin yang berpegang kepada amanah, tidak ada istilah paksaan supaya setia kepada pemimpin.

"Setia kepada perjuangan parti bukan bermakna seseorang itu tidak mempunyai ruang untuk menegur kepimpinan parti.

"Ada orang salah anggap, apabila kita setia kepada UMNO, akan dilebelkan kita setia membabi-buta kepada pucuk pimpinan parti," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Katanya, UMNO masih mempunyai ruang dan tempat ahli-ahlinya meluahkan apa yang terbuku di hati menerusi saluran yang dibenarkan oleh perlembagaan parti dan amalan demokrasi.

"Bagaimanapun, adalah agak mustahil kepada pucuk pimpinan terutama presiden untuk memuaskan hati semua pihak khususnya ahli-ahli parti.

"Di sinilah akan berlaku konflik, akan tercetus rasa kecewa dan marah kepada pucuk pimpinan sehingga UMNO dijadikan sasaran kebencian.

"Lebih mendukacitakan, rasa kebencian itu dijadikan modal untuk menghasut orang lain supaya turut memusuhi UMNO dan pemimpinnya," ujarnya.

Jelasnya, perbuatan itu yang perlu dibendung kerana kesannya akan memudaratkan perpaduan orang Melayu.

Dalam pada itu, Syed Ali menjelaskan UMNO merupakan parti yang memperjuangkan kepentingan dan masa depan orang Melayu tidak sepatutnya dirosakkan oleh ahli-ahlinya hanya kerana ingin melunaskan rasa benci yang melampau.

"UMNO memerlukan ahli-ahli yang setia kepada falsafah dan perjuangan parti bagi meneruskan agenda membela nasib rakyat.

"Aspirasi UMNO tidak memerlukan mereka yang memiliki sikap khianat dan menjadikan parti sebagai 'batu loncatan' untuk kepentingan serta agenda peribadi.

"Ada segelintir puak yang cuba berlaku khianat kerana puncanya kecewa atau dendam, maka sudah tentu UMNO akan menjadi parti yang bermasalah," ujarnya.

Sehubungan itu jelas Syed Ali, segelintir puak yang khianat dan tebal dengan perasaan dendam terpaksa dikenakan tindakan atau disingkirkan daripada parti walaupun keputusan itu ternyata amat pahit.

"UMNO seperti juga mana-mana pertubuhan siasah yang lain mempunyai carta kepimpinan yang seharusnya dihormati oleh ahli.

"Dari sudut UMNO, maka kedudukan presiden parti sewajarnya dihormati, malah menjadi kewajipan ahli-ahlinya mempertahankan presiden daripada diserang oleh pihak tertentu.

"Selagi seseorang itu memegang jawatan ketua atau presiden atas pilihan ahli secara demokrasi, maka selagi itulah kita (ahli parti) perlu berketuakannya.

Syed Ali menambah, setiap lapisan kepimpinan UMNO perlu memberi tumpuan bagaimana usaha untuk mengekalkan sokongan orang Melayu terhadap parti itu.

"Dengan mengambil kira senario politkik masa kini, saya akui berlaku sedikit penghakisan sokongan pengundi Melayu terhadap UMNO.

"Realitinya sokongan pengundi Melayu terutama di kawasan bandar dan pinggir bandar berlaku penurunan, ini yang perlu diperbaiki segera," katanya.

Oleh sebab itu jelasnya, adalah tidak memberi manfaat sekiranya pemimpin UMNO hanya asyik 'berpolitik' sehingga mengabaikan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat.

Mengenai keghairahan parti-parti pembangkang untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU ke-14, Syed Ali menjelaskan, semua parti politik mempunyai keazaman masing-masing.

"Oleh sebab itu saya tegaskan, UMNO perlu lebih aggresif mendekati rakyat dan sentiasa selami permasalahan mereka," katanya.