ADA kemungkinan UMNO dan DAP akan berkubur kerana rakyat terutama ahli masing-masing tidak lagi menyokong mereka.

Dalam kerjasama antara parti-parti politik, kita tidak boleh sama sekali menolak sebarang kemungkinan kerana politik adalah seni segala kemungkinan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah memberi ‘hint’ dalam isu ini di mana beliau menyatakan akan ada penjajaran baharu kerana pada pandangan beliau - Politik adalah dinamik, mahu atau tidak, harus diterima hakikat bahawa akan ada kerjasama terjadi antara UMNO dan DAP walaupun diketahui kerjasama itu adalah merupakan buah fikiran atau perkara yg dianggap idealis.

Begitupun dalam dunia politik, segalanya boleh terjadi dan dengan ‘hint’ daripada presiden sendiri, kemungkinan itu tetap ada.

Namun ada kemungkinan lain - kedua-dua pengundi parti, salah satunya mungkin akan memboikot pilihan raya atas alasan pelanggaran prinsip atau pertembungan ideologi.

Situasi ini memungkinkan keadaan pengundi tegar kedua-dua parti akan memboikot Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika kerjasama ini berlaku.

Ia juga satu kemungkinan yang tidak dapat dielakkan.

Begitupun, mengambil kira ‘mood’ dan sentimen akar umbi, contohnya UMNO, ramai mengetahui dalam persidangan hampir dua ke tiga tahun kebelakangan, mereka menolak kerjasama parti lawan.

Ia termasuklah dengan DAP bahkan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga.

Seandainya ‘penolakan total’ ini berlaku di peringkat akar umbi tetapi tidak dihiraukan pemimpin atasan, saya yakin pertembungan konflik akan berlaku antara objektif pemimpin atasan yang mahukan kerjasama antara parti politik termasuk musuh utama mereka.

Ia sekali gus bertembung dengan kehendak akar umbi atau ahli-ahli UMNO sendiri.

Pada saat itu, jika tiada lagi sokongan, parti UMNO sedia ada akan terkubur dan berkemungkinan wujudnya parti UMNO baharu.

Pertembungan akan berlaku pada masa itu bahawa orang bawah tidak akan bersetuju sebarang tindakan pemimpin atasan yang mahukan kerjasama dengan parti lawan.

Mereka merasakan UMNO boleh bertahan, selamat dan boleh memerintah kembali Malaysia sekiranya mengadakan kerjasama dengan parti lawan.


* Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri ialah Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM).

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.