KUALA LUMPUR:Pemimpin UMNO seharusnya belajar dan mengambil iktibar daripada ketabahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bukan sahaja sanggup melalui proses perbicaraan dengan tabah, malah sedia dipenjarakan.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kepong, Datuk Norizan Ali menegaskan, disebabkan ketabahan dan keyakinan yang ditunjukkan oleh Anwar, parti dan dirinya diterima rakyat dalam pilihanraya.

"Seharusnya pemimpin-pemimpin UMNO yang sedang berdepan kes mahkamah juga mengambil pendekatan yang sama seperti ditunjukkan Anwar.

"Keutamaan yang harus didahulukan oleh pimpinan UMNO ialah menyambut dengan suci hati seruan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  untuk sama-sama membina dan memulihkan negara ini tanpa ada sebarang niat atau kepentingan lain yang bersifat kepentingan peribadi di sebaliknya.

"Permainan politik yang ditunjukkan UMNO, termasuk ugutan mahu keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), hanya akan memalukan UMNO di mata rakyat serta menunjukkan ketidaksediaan mereka menerima kejutan politik yang sudah berbeza dengan ketika Barisan Nasional (BN) berkuasa dahulu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA: Segerakan pemilihan UMNO: Beri peluang akar umbi tentukan pemimpin, hala tuju parti

BACA: 
UMNO lemas di kolam cetek kerana hilang upaya, bukan tidak pandai berenang- Annuar

Kata Norizan, inilah masanya untuk pemimpin UMNO, termasuk yang mempunyai kes mahkamah untuk membuktikan perjuangan mereka untuk agama, bangsa dan negara dan bukannya demi membebaskan diri daripada masuk penjara.

Dalam pada itu jelasnya, masalah politik yang berlaku dalam kerajaan PN kebelakangan ini adalah suatu perkara yang sengaja dicetuskan UMNO.

"Ia disebabkan ada pemimpin UMNO tidak berpuas hati dengan masa depan mereka serta masih merasakan seolah-olah BN adalah parti yang menang dalam pilihan raya.

"Dalam hal ini, UMNO seharusnya berjiwa besar serta berlapang dada menerima keadaan yang berbeza berbanding sewaktu BN berkuasa dahulu dengan tidak terus mengamalkan budaya politik ugut dan seumpamanya.

"Kerajaan PN hari ini yang ditunjangi Bersatu pimpinan Muhyiddin adalah semata-mata dibentuk untuk kepentingan Melayu dan Islam serta bagi menyelamatkan negara," ujarnya.

Katanya, kerajaan ini tidak dibentuk untuk menyucikan dosa-dosa pemimpin UMNO yang masih ada kes mahkamah atas pelbagai kesalahan yang telah mereka lakukan sebelum ini.

"Sebagaimana telah disebut berulang kali oleh Perdana Menteri bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam sebarang urusan mahkamah, pemimpin UMNO yang masih dalam perbicaraan hendaklah menggunakan sepenuhnya proses undang-undang untuk membersihkan nama mereka.

"Jangan sesekali cuba melakukan ugutan politik yang memperlihatkan mereka itu sebenarnya tidak mampu membersihkan nama melalui proses perbicaraan di mahkamah," jelasnya.

BACA: UMNO perlu bariskan pemimpin baharu selain Ahmad Zahid - Pemuda UMNO Pagoh