Calon presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu menyambut pengumuman Tengku Razaleigh Hamzah untuk turut bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti kali ini dengan menyifatkan UMNO kini parti yang lebih demokratik.

Ahmad Zahid, Naib Presiden yang kini menjalankan tugas-tugas presiden selepas Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya 12 Mei lalu, berkata pengumuman Tengku Razaleigh itu juga suatu bukti komitmen bahawa semua jawatan dalam UMNO terbuka untuk ditandingi.

Beliau, yang juga bekas timbalan perdana menteri, bagaimanapun mengingatkan bahawa UMNO tidak harus terbelah dua seperti terjadi pada tahun 1987 biarpun keterbukaan parti itu diterjemahkan semula pelaksanaannya.

"UMNO harus terus diperkukuhkan biarpun kekecundangan telah membaluti prestasi dalam PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) dengan menerapkan semangat bekerja sepasukan," menurut catatan dalam Facebook (FB) beliau, beberapa jam selepas Tengku Razaleigh mengadakan sidang media pada Sabtu bagi mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan presiden pada pemilihan UMNO, 30 Jun ini.


"Keutamaan untuk menjaga jemaah UMNO lebih penting dari sesuatu jawatan yang ditandingi. Kerana sesuatu jawatan kelak merupakan suatu amanah dan bukan habuan politik. UMNO kini terkeluar dari gelanggang kekuasaan," kata Ahmad Zahid.

Tengku Razaleigh, bekas Menteri Kewangan dari 1976 hingga 1984 dan Ahli Parlimen Gua Musang berusia 81 tahun itu, berkata keputusan tersebut diambil selepas meneliti kedudukan dan situasi UMNO terutama berkaitan soal kepimpinannya.

Dalam catatan sama, Ahmad Zahid juga mengharapkan tempoh berkempen tidak harus dijadikan sebagai pentas untuk membunuh perwatakan calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding.

"Ia hendaklah dilakukan secara persahabatan dengan semangat ukhuwah," katanya dan menambah bahwa beliau sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menerima siapa sahaja yang menang untuk membentuk kepimpinan UMNO yang kuat.

"Kita hendaklah menjadikan pertandingan ini dengan niat untuk menghadapi seteru politik di luar sana dan bukan mencipta permusuhan sesama sendiri. Jangan jadikan 'menang jadi arang dan kalah menjadi abu' sebagai tunjang pertandingan ini," katanya. -- Bernama