UMNO yang mencapai usia 71 tahun esok, akan kekal relevan untuk semua rakyat Malaysia kerana perjuangan parti itu tidak hanya terhad kepada orang Melayu sahaja, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO itu, berkata meskipun dilanda pelbagai cabaran sejak ia ditubuhkan, parti itu tetap teguh hingga ke hari ini berkhidmat melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi memenuhi agenda yang termaktub dalam perlembagaannya termasuk untuk Raja-raja Melayu serta kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

"Kita lihat dalam tempoh tujuh dekad ini, kita telah meniti tawarikh perjuangan UMNO yang tidak lekang daripada pelbagai cabaran. Malah pengasas UMNO dahulu, Datuk Onn Jaafar ingin buka (pintu) UMNO kepada bukan Melayu, akhirnya beliau tubuhkan parti lain, tetapi Alhamdulillah Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia yang pertama) berjaya bagi roh baru walaupun pengasas UMNO tidak bersama parti lagi.

"Pemimpin datang dan pergi, pelbagai gelombang dan cabaran. Malah pernah dicabar dalam dan luar, pernah ditikam luar dan dalam. Tikaman belum lagi reda hingga sekarang walaupun jasa UMNO pada seseorang itu besar. Tetapi UMNO tetap parti yang kukuh dan akan kekal relevan untuk semua pihak," katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena Hari UMNO ke-71 dalam program Ruang Bicara Khas, BNC, yang disiarkan malam ini.

Ahmad Zahid berkata UMNO telah mencapai usia kematangan yang terbaik sebagai sebuah organisasi yang sudah berusia 71 tahun.

Sungguhpun demikian, katanya, UMNO masih memerlukan pelbagai pengisian untuk menggunakan kematangannya itu dalam segala bentuk tindakannya.

"Dalam perkara ini, tentunya kesinambungan kepimpinan sejak UMNO diasaskan harus terus menyuntik elemen-elemen kematangan dalam kelangsungan perjuangan UMNO itu sendiri.

"Malah, perjalanan pentadbiran dan juga penggarapan dukungan daripada idea parti dan akar umbi masih berjalan dengan baik. Inilah istimewanya UMNO di mana proses kesinambungan ini terus diraikan dan kita merasakan bahawa rakyat masih bergantung harap kepada parti ini kerana UMNO boleh memperjuangkan untung nasib mereka bukan waktu ini sahaja tetapi untuk waktu mendatang," katanya.

Dalam meneruskan kematangan dalam perjuangan parti, Ahmad Zahid berkata beliau bersedia menggalas cabaran itu bersama-sama Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bersesuaian dengan kematangan UMNO, Ahmad Zahid meminta seluruh kepimpinan dan anggota UMNO supaya menjauhi budaya ''politik kelawar'' iaitu politik bermusim dan "politik sate".

"Kita tidak mengamalkan politik bermusim. Ertinya UMNO tidak bermusim kerana kelawar tidak datang apabila tiada musim buah kerana kita bukan kelawar," katanya sambil menegaskan bahawa parti itu sentiasa turun padang untuk berkhidmat kepada rakyat.

Politik sate juga perlu dijauhkan kerana ia menonjolkan tabiat buruk ''mencucuk'' atau menghasut orang lain sehingga boleh mengadu domba pihak-pihak berkenaan.

"Yang paling jahat adalah tukang-tukang kipas sate itu. Yang turut memanaskan api sate itu untuk membakar sate dan juga tukang cucuk (sate) itu. Dalam keadaan ini, saya fikir politik kelawar dan politik sate ketepikanlah kerana UMNO semakin matang," kata beliau.

Ahmad Zahid berkata UMNO juga kini telah memperkemaskan jentera penerangannya dalam pelbagai medium terutamanya media sosial dengan pelbagai pendekatan yang berbeza untuk kumpulan khalayak yang berbeza.

Usaha yang giat perlu dilakukan supaya maklumat yang bolehdipercayai dan berwibawa dapat disampaikan dengan jelas kepada rakyat, khususnya para pengundi dalam pilihan raya umum yang akan datang, katanya.

Beliau mengingatkan seluruh jentera parti agar mengatur strategi awal bagi menangkis serangan musuh politik, khususnya semasa pilihan raya untuk mengelak berulangnya kejadian seperti pada suatu ketika dulu apabila Barisan Nasional (BN) difitnah kononya telah membawa masuk pengundi hantu dari Bangladesh dengan suatu jumlah angka yang tidak masuk akal langsung.

Sekiranya serangan seperti itu tidak ditangkis segera, fitnah-fitnah itu akan mempengaruhi pemikiran para pengundi dan keadaan ini boleh menjejaskan peluang BN, katanya.

Pada masa ini, kesiapsiagaan komunikasi UMNO sedang diperkemaskan dan beliau yakin semua pihak dalam parti itu mampu untuk bekerja dalam sebuah pasukan untuk terus membawa kemenangan kepada parti itu dan BN pada PRU-14, tambahnya.

-- BERNAMA