Umno Kelantan akan berusaha habis-habisan membantu Umno Terengganu bagi memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu terus kekal di tangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DUN itu nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau telah mengarahkan Umno Bahagian Pasir Puteh yang merupakan daerah berjiran agar segera turun padang membantu jentera BN itu.

“DUN Kuala Besut ini merupakan `anak angkat' kepada saya yang merupakan anggota Majlis Tertinggi Umno dan sudah tentu saya mahukan Kuala Besut ini terus kekal dipertahankan BN,” kata Mustapa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Pertama Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Cawangan Kelantan di sini, siang tadi.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A. Rahman Mokhtar pada Selasa lepas akibat paru-paru berair.

A. Rahman, 55, ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri dan pada pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi setelah mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Sementara itu Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berjanji akan menyelesaikan masalah segelintir petani Kelantan yang dikatakan tidak mendapat pelbagai bantuan seperti subsidi seperti yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini.

Mustapa berkata beliau telah menerima aduan mengenai perkara itu dan telah meminta pihak yang bertanggungjawab menyiasat dan seterusnya menyelesaikan masalah berkenaan.

Pada persidangan DUN itu, beberapa penyokong kerajaan negeri mendakwa petani di beberapa buah jajahan negeri itu terutama yang menyokong PAS tidak menerima beberapa peruntukan termasuk subsidi padi.

Berikutan itu petani berkenaan didakwa akan memboikot musim baru penanaman padi dan juga akan menyekat pengaliran air yang melalui sawah padi mereka.

Sehubungan itu Mustapa meminta petani berkenaan bersabar dan yakin jika benar berlakunya masalah itu, perkara berkenaan boleh diatasi dengan sebaik mungkin.