Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan belum lagi memuktamadkan nama calon yang akan ditampilkan di kerusi Dewan Undangan Negeri, DUN Pengkalan Kubor pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.

Menurut pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed masih ada masa beberapa hari lagi untuk meneliti nama calon yang layak sebelum diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 10 September ini.

“Belum lagi dimuktamadkan, sekarang ini masih proses tinjauan dan masih ada masa lagi dalam dua tiga hari ini tidak perlu tergopoh-gopoh kerana kita hendak pastikan apa jua tindakan kita setelah buat pertimbangan teliti,” kata Mustapa.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian kepada pemberita di sini petang tadi.

Sebelum ini ada cakap-cakap mengatakan Timbalan Ketua UMNO bahagian Tumpat, Datuk Rosdi Abdul Aziz dan Senator Datuk Dr Ashraf Wajdi antara calon yang di sebut-sebut.

Mustapa memaklumkan UMNO tidak gentar untuk menentang sesiapa sahaja calon yang bakal ditampilkan samada dari PAS atau Parti Keadilan Rakyat.

Beliau juga mengakui UMNO berdepan cabaran kerana Pengkalan Kubor berhampiran kawasan yang diwakili oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob iaitu DUN Pasir Pekan.

UMNO juga katanya tidak memperlekehkan pihak lawan kerana setiap pilihan raya yang disertai adalah bertujuan meneruskan khidmat kepada rakyat.

Mengulas mengenai perjalanan jentera parti, Mustapa menjelaskan kesemua Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah dibuka dan jentera parti sedang giat membuat persediaan berkempen.

Beliau juga menafikan sekeras-kerasnya bahawa UMNO akan membawa samseng menyertai kempen PRK ini seperti yang di dakwa oleh pimpinan PAS, sebaliknya UMNO mengambil sikap berkempen secara aman dan berhemah.