UMNO Kelantan mahu tindakan dikenakan terhadap pengkhianat parti

Vivi Sumanti
Januari 11, 2023 21:00 MYT
Ahmad Jazlan berkata, Badan Perhubungan UMNO Kelantan membuat ketetapan pada Rabu untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO. - Gambar fail/Astro AWANI
KOTA BHARU: Badan Perhubungan UMNO Kelantan meminta supaya mana-mana pihak yang didapati mengkhianati parti di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas diambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera.
Menurut Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, UMNO Kelantan juga menolak sekeras-kerasnya segala perbuatan khianat yang melemahkan struktur dan strategi parti bagi memenuhi kehendak agenda individu.
"Ini kerana, UMNO Kelantan kini dalam rangka menyusun gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Negeri Kelantan yang dijangka berlaku pada bila-bila masa sahaja," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Pada PRU15 lalu, UMNO Kelantan menerima tamparan hebat apabila enam kerusi Parlimen termasuk dua yang diwakili calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tewas.
UMNO meletakkan 14 calon di 14 Parlimen seluruh Kelantan.
Bahkan, kerusi yang menjadi kubu kuat UMNO sejak tahun 70-an, iaitu Parlimen Gua Musang, turut berjaya dirampas oleh calon dari Perikatan Nasional.
Ahmad Jazlan berkata, Badan Perhubungan UMNO negeri membuat ketetapan pada mesyuarat semalam bahawa ia memberi sokongan sepenuhnya kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden parti.
#UMNO Kelantan #tindakan #pengkhianat parti #Ahmad Jazlan Yaakob