UMNO akan lebih selesa sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Muafakat Nasional (MN) berbanding berada di dalam Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu, penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr Muhammad Fuad Othman berkata, apa yang paling penting dan perlu dilakukan ialah usaha menggabungkan semua parti politik Melayu berada dalam kerajaan.

Menurut beliau, dari perspektif UMNO, penyertaan Bersatu dalam gugusan kerjasama politik MN berbanding dalam PN adalah lebih utama.

"Dalam aspek itu mungkin seperti yang ramai katakan bahawa UMNO mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang lebih, Pas juga mempunyai Ahli Parlimen, jadi pastinya kalau Bersatu masuk di dalam MN, dia akan berada dalam keadaan yang lebih seimbang berbanding di dalam PN.

"Saya kira yang paling penting adalah bagaimana kerjasama ini boleh membantu untuk menyalur apa sahaja yang kerajaan rancangkan dan laksanakan. Itu adalah yang lebih penting daripada kepentingan-kepentingan yang lain sekiranya dengan masuk ke dalam MN itu akan menjadikan jentera kerajaan lebih kuat dan parti boleh berkhidmat dengan lebih baik.

"Itu adalah lebih penting daripada siapa yang lebih berkuasa dalam mana-mana gugusan kerjasama politik," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

BACA: Pas, UMNO bincang soal agihan kerusi PRU dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MN

BACA:
"UMNO rakan kongsi penting, lebih dahulu bersama Pas" - Ahmad Amzad

Dalam pada itu, beliau berkata, paling penting juga UMNO dan Bersatu sendiri perlu berbincang agar tidak berlaku pertandingan sesama sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Tambahnya, jika gagal, ia sekali gus akan memburukkan keadaan dan memberi kesan negatif kepada kerjasama mereka selama ini.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, tidak ada masalah jika parti itu bersama-sama berada dalam MN.

Jelasnya, MN adalah satu piagam dan bukan parti politik yang didaftarkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Mengulas isu sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, parti itu sentiasa memberi penghormatan, penghargaan dan kebebasan bersuara kepada mana-mana parti yang mahu bersama dalam MN.

Tegasnya, jika tindakan itu membawa pada kebaikan, pemimpin berkenaan tentu bersedia mendengar dan memberi pertimbangan sewajarnya.