UMNO lebih berminat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Kelantan dan bukannya mengutamakan kepentingan politik semata-mata, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata fokus UMNO adalah mengubah persepsi rakyat Kelantan terhadap parti itu dan bukannya merampas negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 kelak.

"Hendak ambil alih Kelantan? Itu memang harapan UMNO Kelantan...tetapi nak kata kita mahu 'rampas', itu tidak wajar kerana kita lebih berminat tampilkan perkhidmatan kepada rakyat, itu yang lebih menjadi keutamaan.

"Kita akan tampilkan UMNO sebagai parti yang bertanggungjawab, mementingkan kesejahteraaan rakyat, bersedia untuk berkhidmat sebaik mungkin dan seterusnya kita harap rakyat akan nilai kejujuran dan keikhlasan kita," katanya.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum menyertai program dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa sempena lawatan dua hari beliau ke negeri ini bermula semalam.

Turut hadir Ketua Perhubungan UMNO negeri yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Mengenai persediaan UMNO Kelantan menghadapi PRU-14, Najib berkata jentera parti itu sudah digerakkan termasuk di peringkat akar umbi yang perlu bekerja lebih gigih bagi menawan kembali hati pengundi negeri ini.

"Kita tahu bukan mudah untuk UMNO di Kelantan. Jadi, kita mesti bekerja keras. Di samping itu, kita berharap suasana di sini tidak mengamalkan politik yang negatif tetapi mengamalkan kebajikan rakyat.

"Kesudahannya nanti, rakyat sendiri akan menilai sistem demokrasi yang manakah pilihan mereka," katanya.

Ditanya mengenai kerjasama UMNO dan PAS di Kelantan, Najib berkata dalam dunia politik, segalanya boleh berlaku dan apa jua kemungkinan perlu diambil kira.

"...setakat ini, kita semua buat kerja masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Najib sekali lagi menegaskan walaupun Kelantan bukan di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional (BN) namun kerajaan Persekutuan tetap mengamalkan dasar membangunkan negeri ini secara adil dan saksama seperti negeri-negeri lain.

"Kita tidak meminggirkan Kelantan malah kita tidak menafikan hak Kelantan walaupun ada pihak yang menuduh Kelantan keterbelakang dan kerajaan pusat tidak ikhlas membangunkan Kelantan," katanya.

Perdana menteri menyertai program dialog kira-kira sejam itu bersama-sama para pelajar sekolah, penuntut institut pengajian tinggi awam dan swasta di Kelantan sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang ini.

TN50, yang digagaskan Najib semasa membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada 21 Okt tahun lepas, merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.
-- BERNAMA