Walaupun pahit untuk ditelan, namun UMNO perlu bangkit semula dari keruntuhan yang dihadapi pada PRU14.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu telah berusia 72 tahun dan melalui pelbagai krisis dan cabaran sehingga menjadi sebuah parti yang mantap dan matang.

“UMNO perlu berubah, kalau tidak berubah kita akan terus hanyut. Rakyat telah pun berikan satu ‘signal’ yang besar kepada UMNO pada PRU14.

“Sama ada perubahan di pucuk pimpinan parti atau sebaliknya, kerana Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Razak) telah pun meletakkan jawatan. Terpulanglah kepada semua ahli UMNO untuk buat pemilihan siapa yang mereka rasa layak untuk menerajui UMNO selepas ini.

BACA: Najib Razak letak jawatan Presiden UMNO, Pengerusi BN

“Tapi kita perlu satu tenaga baharu dalam parti supaya jadi sebagai sebuah parti baharu sebagai pembangkang. Kita dah runtuh, tapi perlu bangkit. Kita susun semula batu-bata ini, supaya ia dapat jadi dinding dan tembok yang kuat, lebih perkasa untuk pastikan jika berlaku tsunami, kita mampu menolaknya,” katanya pada sidang media pertama diadakan selepas BN tewas pada PRU14 di sini, pada Ahad.

Menurutnya, formula yang diamalkan oleh UMNO sebelum ini termasuk kerjasama dan pembahagian kerusi dengan parti komponen BN perlu dikaji semula bagi memastikan semua pihak benar-benar bekerja dan bukannya hanya bertanding disebabkan mendapat kuota.

Malah beliau juga bersungguh untuk membina semula UMNO di Negeri Sembilan dan mengingatkan kepada semua ahli parti supaya tidak terus kecewa.

“Mesyuarat cawangan yang akan diadakan pada 19 Mei hingga 10 Jun ini dijadikan sebagai satu isyarat untuk kita bangun semula. Tapi, mesyuarat kali ini mungkin berbeza berbanding dulu.

“Selama ini kita khayal dan dilamun oleh kekayaan...semua minta dapat. Jadi sekarang, kita nak lihat orang yang memang kental hati dan ada semangat juang untuk bina semula parti,” katanya.

Mengenai kekalahan besar parti itu, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar, mengakui faktor kemunculan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin utama Pakatan Harapan (Harapan) telah membawa pengaruh besar sehingga berjaya menarik ramai penyokong.

Katanya, masalah dalaman dihadapi oleh BN serta dasar yang tidak popular ditambah dengan peningkatan kos sara hidup juga turut memberi kesan negatif.

“Itu semua perlu diambil kira oleh parti dan pemimpin yang menerajui UMNO-BN, supaya kita tidak lagi leka dan tidak ambil peduli pandangan rakyat.

“Tapi, kita akan bangkit semula sebagai sebuah parti yang baru yang boleh penuhi cita rasa rakyat terutama golongan muda yang banyak menentang kerajaan (BN) selama ini.

Ditanya mengenai sentimen rakyat terhadap Datuk Seri Najib, Mohamad yang enggan memberi komen panjang memberitahu perkara itu jelas melalui keputusan PRU14.

Dalam pada itu beliau ditanya mengenai ramai penyokong parti itu yang berharap jawatan Presiden UMNO diberi kepadanya, Mohamad berkata, dia tidak boleh menonjolkan diri tetapi terpulang kepada ahli parti yang membuat pemilihan.

“Saya sayangkan UMNO dan nak lihat Umno bangkit semula dari keruntuhan ini. Lima tahun itu tak lama, pejam celik dah kita akan hadapi pilihan raya semula.

“Jadi, bagi saya berehat bulan Ramadan dan Syawal ini, sekurangnya ini masa untuk saya bersama keluarga dan kemudian saya akan ‘comeback’,” katanya.