Pemimpin UMNO perlu mendengar dan menilai suara rakyat di peringkat akar umbi jika mahu memastikan parti itu menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata aspek kepercayaan dan keyakinan ahli akar umbi itu perlu diberi perhatian khusus serta tidak boleh dipandang mudah oleh pimpinan parti.

"Cabaran dalam PRU 14 yang akan datang memerlukan penelitian dan pendekatan kita mendengar suara rakyat peringkat bawahan kerana dengan mereka kita berpaut.

"Kita adalah wakil kepada rakyat, tidak mungkin kita menang jika rakyat tidak sokong kita. Tanpa keyakinan dan kepercayaan daripada rakyat, tidak mungkin kita terus berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri oleh Menteri Besar yang juga Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Shafie berkata, sebagai seorang bekas menteri yang pernah menerajui Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, beliau sedar mengenai masalah kehidupan orang kampung.

"Saya tahu, saya sedar selaku mantan menteri kampung saya jelajah di kampung-kampung, masalah hidup rakyat merupakan masalah penting yang perlu diatasi.

"Tidak cukup jika masalah ini hanya didengari tetapi juga harus diambil langkah mengatasinya," katanya.

Sehubungan itu, Shafie meminta semua anggota UMNO agar lebih kerap turun padang dan mengetengahkan permasalahan rakyat tanpa perlu takut bersuara untuk tujuan itu.

Beliau juga dalam masa yang sama berikrar akan terus membantu rakyat walaupun tidak lagi memegang jawatan dalam kerajaan.