KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO berhubung usul tiada pertandingan bagi dua jawatan teratas parti berkenaan dalam pemilihan akan datang.

Perkara itu disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

"Kementerian telah meneliti mengenai ketetapan yang telah dibuat oleh Perhimpunan Agung UMNO 2022 daripada Setiausaha Agung UMNO pada 3 Mac 2023.

"Merujuk kepada perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO, Kementerian berdasarkan seksyen 70, Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) telah memutuskan untuk memberikan pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832 kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak dipertandingkan pada pemilihan parti UMNO akan datang," kata Saifuddin.

Pada 20 Januari lalu, dua ahli UMNO menghantar aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) supaya semakan dibuat terhadap usul tambahan yang diluluskan pada PAU 2022 berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini.

Aduan itu dikemukakan ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Seremban, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom yang berharap ROS dapat menentukan sekiranya wujud pertikaian terhadap usul tambahan yang dibawa pada PAU 2022.

Muhammad Aizat Fikri mendakwa atur cara mengemukakan usul tambahan itu tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga bekas Perdana Menteri turut menggesa RoS membuat keputusan segera bagi menentukan sama ada keputusan PAU itu sah atau tidak sebelum pemilihan parti pada 18 Mac ini.

Ia bagi memberi laluan kepada ramai calon lain bertanding merebut dua jawatan tertinggi UMNO termasuk mereka yang sudah mengumumkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden jika tindakan UMNO itu menyalahi perlembagaannya.