Bersatu zahir hasrat sertai Muafakat Nasional - Ahmad Zahid

Harits Asyraf Hasnan
Julai 30, 2020 05:10 MYT
Ahmad Zahid berkata, sokongan terhadap PN hanya berlandaskan kepada Ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri dalam pembentukan kerajaan Pusat dan di beberapa buah negeri. - Gambar fail
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan hasrat untuk menyertai Muafakat Nasional (MN), kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu sidang media hari ini, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, hasrat Bersatu itu akan dibincangkan bersama dengan PAS untuk diperhalusi.
Selain itu, beliau berkata, UMNO juga telah membuat keputusan tidak menyertai Perikatan Nasional, sebaliknya memberi komitmen memperkasakan Muafakat Nasional bersama-sama dengan PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).
"Sokongan kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN serta ADUN-ADUN dalam pembentukan kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu.
"Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam (Rabu) di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat PPBM (Bersatu) untuk menyertai Muafakat Nasional. Hasrat PPBM ini akan dibincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi," katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Sumber Facebook zahidhamidi.fanpage
Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional sebelum ini telah memutuskan untuk UMNO dan PAS memberi keutamaan bagi memperkukuhkan parti berkenaan.
Beliau pada masa sama menyerahkan kepada Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional untuk mempertimbangkan hasrat PPBM sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi Muafakat Nasional demi kepentingan rakyat dan negara.
#Bagan Datuk #Muafakat Nasional #Muhyiddin Yassin #PAS #Perikatan Nasional #PPBM #UMNO #Zahid Hamidi