UMNO Terengganu akan berjuang habis-habisan bagi meraih kembali kerusi di negeri itu yang jatuh ke pihak pembangkang sekali gus membantu Barisan Nasional (BN) meraih kejayaan cemerlang pada pilihan raya akan datang.

Menteri Besar merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata UMNO Terengganu kini memfokuskan tiga agenda utama dalam memantapkan jentera pilihan raya parti.

Tiga agenda itu katanya iaitu mengadakan pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM), mengatur gerak kerja pilihan raya dan mengadakan simulasi pilihan raya.

"Agenda ini adalah untuk menjayakan dan memastikan pada pilihan raya umum akan datang kita akan menang dengan cemerlang.

"Ia juga sebagai hadiah terbaik kepada Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang tidak putus-putus memberi semangat kepada kita di saat UMNO negeri berhadapan dengan konflik dalaman," katanya.

Beliau berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Terengganu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini pada Sabtu.

Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Nerus turut berjanji segala permasalahan dalaman yang melanda UMNO Terengganu akan diselesaikan dalam masa terdekat bagi memastikan ia tidak membantutkan perjuangan UMNO.

Katanya, konflik dalaman yang berlaku hanyalah perselisihan adik beradik, dan beliau yakin semua ahli UMNO Terengganu tetap sayang dan cintakan kepada parti.

"UMNO Terengganu sudah melalui perjalanan yang cukup lama, sudah merasai pengalaman yang penuh berliku, sudah menghadapi situasi yang sangat memeritkan.

"Justeru, kami akan pelihara UMNO dengan sebaik mungkin. Kami akan terus terus maju ke hadapan.

Kami akan sambung legasi UMNO yang tidak putus-putus mencurah jasa dan menabur budi, kepada negara Malaysia, kepada negeri Terengganu, kepada agama dan bangsa," tegasnya.

Turut hadir pada persidangan tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi.