UMNO tidak perlu menghabiskan masa untuk melayan kerenah yang dicetuskan oleh parti pembangkang ketika bahang PRU ke-14 semakin hampir.

Ini kerana sememangnya sifat parti pembangkang hanya 'membangkang' apa sahaja yang dilakukan oleh UMNO dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Umum mengetahui, kerja pemimpin pembangkang adalah membangkang apa sahaja walaupun yang mereka bangkang itu bermanfaat kepada negara dan rakyat.

Jadi, pada hemat saya tidak ada untung satu sen pun kita melayan kerenah mereka.

Mereka sengaja membangkitkan isu-isu tertentu supaya kita menjadi latah seperti mereka.

Tidak puas hati

Pada pembangkang, tidak ada satu pun usaha baik dilakukan UMNO dan BN memuaskan hati mereka, sebaliknya diputarbelitkan untuk mengelirukan rakyat.

Oleh kerana sifat mereka yang hanya 'membangkang' membuta-tuli, maka kita di pihak UMNO tidak sepatrutnya melayan atau mengikut rentak mereka.

Biarkanlah mereka membangkang dan mencetuskan kerenah terhadap beberapa isu termasuk terkini membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tak perlu untuk kita pun menjadi latah untuk menyerang balas terhadap Dr Mahathir; tak ada gunanya kerana perbuatan itu sekadar melepaskan geram politik.

Pada pandangan saya, biarlah pembangkang memperalatkan Dr Mahathir, biarlah bekas Perdana Menteri dijadikan perkakas untuk meneyerang UMNO.

Biarkan, sebab saya yakin kesannya tidak akan menjadi kudis kepada UMNO.

Rakyat yang akan menentukannya dan saya juga yakin, rakyat sudah meluat dengan taktik murahan sedemikian rupa yang dimainkan pembangkang.

Rakyat bukannya mudah terpengaruh dengan sandiwara pembangkang yang hanya bermain politik dan rakus kepada kuasa.

Tiada hasil

Pembangkang serang UMNO dengan jutaan fitnah dan tohmahan, lalu kita pun mengambil pendekatan untuk menyerang mereka, maka berlakulah kata-mengata yang tiada kesudahannya.

Hasilnya tidak ada, sebaliknya rakyat akan melihat kita (UMNO) pun lebih kurang sama dengan perangai pemimpin pembangkang.

Kita tidak mahu penilaian seperti itu. Kita mahu UMNO pada kaca mata rakyat adalah sebuah parti politik yang sentiasa relevan, berjasa dan menyantumi kehidupan mereka.

Ini yang perlu difikirkan bersama oleh seluruh ahli, pendokong dan pemimpin UMNO di setiap peringkat.

Sebenarnya, tidak ada manfaatnya untuk kita turut bermain dengan isu yang dimanipulasi oleh pembangkang.

Lebih baik untuk UMNO melupakan isu yang disensasikan pembangkang, tidak perlu dilayan dan tidak perlu diperbahaskan. Tidak ada gunannya.

Sebaliknya, kita selaku pemimpin UMNO teruskan kerja untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

UMNO di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai banyak agenda untuk dilaksanakan untuk kepentingan rakyat jelata.

Menghampiri Fasa 2020 dan menjejaki Fasa 2050 bukan perkara mudah. Perlu diterjemahkan secara jelas dan realistik kerana itu adalah harapan orang Melayu dan seluruh rakyat Malaysia.

UMNO selaku teras kepada kerajaan BN perlu diperkukuh dan diperkasakan setiap masa, bukannya terjerat dengan polemik yang tidak berkesudahan dicetuskan pembangkang.

Oleh sebab itu, awal-awal lagi saya sudah mengatakan bahawa tidak ada faedah untuk kita melayan merenah pembangkang sebab mereka (pembangkang) tidak memiliki tanggungjawab kepada rakyat dan negara ini.

Buat penilaian

Saya percaya, rakyat akan akan membuat penilaian seadil-adilnya dan sudah semestinya rakyat akhirnya akan memihak kepada UMNO.

Pada hemat saya, daripada kita turut membangkang balas isu yang diputarkan pembangkang, lebih baik kita berusaha memberitahu rakyat apa yang telah dan akan UMNO lakukan untuk mereka.

Melayan kerenah pembangkang hanya membuang masa dan tidak akan mencapai titik kesudahannya.

Sebaliknya UMNO perlu berusaha untuk menguatkan keyakinan rakyat terutama orang Melayu terhadap UMNO.

Oleh sebab itu saya berpendapat, usaha untuk meyakinkan rakyat terhadap perjuangan UMNo masa kini bukan satu tugas mudah.

Zaman sudah berubah. Dunia politik merentasi sempadan masa. Kita perlu lebih realistik dengan mengutamakan kepentingan dan kehendak rakyat.

Rakyat mahukan kepada usaha pembelaan nasib mereka secara berterusan dan UMNO sudah melakukannnya.

Rakyat mahukan taraf hidup mereka meningkat sejajar dengan pemodenan dan UMNO terbukti telah melaksanakannya.

Rakyat mahukan kepada sebuah rukun kehidupan yang aman damai dan UMNO telah berjaya mengemudikannya bersama BN.

Yang sedemikian itulah yang perlu diberikan keutamaan, bukannya turut berperang dengan dakyah fitnah yang dicanangkan pembangkang.

UMNO sebagai tiang seri kepada perpaduan orang Melayu perlu lebih konsisten dan bertanggungjawab membela nasib mereka.

Untuk itu, saya selalu berpegang kepada asas perjuangan UMNO; yakni rakyat diutamakan.

Kesimpulannya, tidak ada gunannya kita turut sama melayan kerenah yang sengaja dicipta oleh pembangkang kerana pembangkang sebenarnya tiada tempat di hati rakyat.

Bagaimanapun, dalam sitausi yang sedemikian, kita perlu meningkatkan rasa opimis bahawa orang Melayu sentiasa yakin kepada perjuangan UMNO.

Dengan keyakinan itulah, pada hemat saya adalah lebih baik kita membiarkan sahaja pembangkang dengan isu-isu ciptaan mereka, biarkan.

Kita di pihak UMNO sebaliknya perlu berusaha gigih meyakinkan orang Melayu bahawa UMNO adalah 'milik' mereka.

Pembangkang; biarkanlah mereka dengan labu-labunya!



*Datuk Seri Syed Ali Alhabshee merupakan Ketua UMNO Bahagian Cheras dan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan

** Kenyataan dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.