UMS Tingkat Kawalan Keselamatan Pekerja Hadapi Cabaran COVID-19

Astro Awani
Jun 11, 2021 09:30 MYT
Selain itu, beberapa garis panduan dan SOP juga telah dibangunkan bagi mengadaptasi norma baharu dalam aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan mana-mana operasi UMS. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkenalkan garis panduan keselamatan dan kesihatan pekerjaan semasa dan pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi meningkatkan kawalan keselamatan pekerja bagi menghadapi cabaran COVID-19.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, garis panduan itu adalah sebagai panduan kepada semua kakitangan, warga UMS dan juga pekerja luar berhubung langkah-langkah kawalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi pencegahan jangkitan COVID-19 di UMS.
“Selain itu, beberapa garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) juga telah dibangunkan bagi mengadaptasi norma baharu dalam aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan mana-mana operasi UMS,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Sedunia Peringkat UMS yang disiarkan secara dalam talian di laman Facebook rasmi UMS.Official dan platform Cisco Webex.
Menurut Taufiq, bagi mencapai satu sistem Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang berdaya tahan, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan COVID-19 UMS juga telah menjalankan pelbagai aktiviti.
Katanya, ia meliputi jelajah pencegahan COVID-19 di UMS, statistik harian dan pemantauan kes positif COVID-19, individu di bawah siasatan (PUI) dan individu di bawah pemantauan (PUS) dalam kalangan pekerja, pelajar dan pekerja luar yang dipantau secara harian, pemantauan harian Pusat Kuarantin UMS.
Taufiq dalam masa sama berkata pelajar merupakan kumpulan yang tergolong sebagai individu yang mungkin terkesan dengan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan di UMS terutamanya di kolej kediaman.
“Untuk itu, Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF), dengan kerjasama PKKP telah mewujudkan Anugerah Penarafan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Peringkat Kolej Kediaman yang julung kali diadakan bertepatan dengan falsafah kolej kediaman yang memelihara kesejahteraan dan keharmonian warganya.
“Program tahunan bagi memberikan penarafan bintang kepada semua kolej kediaman ini akan menggalakkan penglibatan warga kolej kediaman dalam aktiviti keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi menyokong kolej kediaman untuk memperoleh Persijilan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ISO 45001:2018) bermula tahun 2021,” katanya.
#UMS #Sabah #Universiti Malaysia Sabah #Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin #PKP #Cabaran COVID-19 #Pandemik COVID-19