KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap tidak akan merayu keputusan untuk melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember ini yang sudah diputuskan mahkamah.

Ketua Pasukan Khas Undi Automatik 18 Tahun Barisan Nasional (BN), Datuk Sivarraajh Chandran berkata, sebarang tindakan yang seolah-olah menunjukkan ketiadaan komitmen untuk melaksanakan Undi 18 akan hanya terus menjauhkan lagi pengundi muda daripada terlibat dalam sebarang usaha kerajaan.

"Untuk berdepan dengan pandemik ini, kita perlukan penglibatan segenap masyarakat ataupun "a whole of a nation approach".

"Ini termasuk penglibatan secara langsung ataupun tidak langsung pengundi muda dalam pentadbiran dan pengurusan negara.



Undi18 | SPR diarahkan laksana Undi18 menjelang 31 Disember

"Kami juga berharap pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan segera bergerak melaksanakan beberapa usaha termasuk penganjuran kelas-kelas pendidikan politik dan pentadbiran secara dalam talian melibatkan kerjasama rentas parti di samping menggerakan pelbagai inisiatif menggalakan pengundi muda untuk terus bersiap sedia," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengarahkan SPR melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember ini bagi mematuhi keputusan mahkamah.

Mahkamah Tinggi Kuching pada Jumaat lepas memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Dalam pada itu Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC menjelaskan, pengumuman Wan Junaidi menunjukkan komitmen kerajaan melaksanakan Undi 18 selaras dengan gagasan Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi penekanan pada usaha membina negara bangsa yang lebih inklusif dengan penglibatan segenap masyarakat.


Hak Mengundi | Undi18 boleh dilaksana pada bila-bila masa

"Kami berharap agar semua pihak yang terlibat akan terus mendukung dan menyokong usaha pemerkasaan hak anak muda demi ini masa hadapan masyarakat dan negara," ujarnya.

Wan Junaidi sebelum ini berkata, antara perkara berbangkit selepas Parlimen meminda Perlembagaan untuk menurunkan umur pengundi dan calon adalah apabila terdapat negeri yang belum membuat pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri bagi melaksanakan pencalonan 18 tahun sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri terbabit.

Beliau berkata, perbincangan menyeluruh perlu diadakan antara SPR dan Jabatan Peguam Negara mengenai tindakan yang perlu diambil jika negeri-negeri berkenaan masih tidak bersetuju dengan penurunan umur menjadi calon ADUN.