KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan persidangan Parlimen minggu depan bagi menentukan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, Ahli Parlimen Pagoh itu tidak perlu gentar, jika benar ada sokongan kukuh.

"Kerajaan Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN) sudah jatuh, ada peguam mengatakan kena tunggu Parlimen.

"Saya tidak mempertikaikan, betul. Tetapi mengapa tunggu satu bulan kalau benar ada jumlah yang dikatakan, lakukan minggu depan," katanya menerusi satu rakaman video yang dimuatnaik dalam Facebooknya di sini, pada Khamis. 

Undi Percaya | Anwar cabar PM adakan sidang Parlimen minggu depan

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut mempertikaikan tindakan Muhyiddin yang tidak mengadakan undi percaya pada Mesyuarat Khas minggu lalu sebaliknya menunggu sehingga titah Agong.

Turut dibangkitkan adalah persoalan perjalanan pertadbiran ketika legitimasi negara dipertikai.

"Kita tidak boleh mentadbir dalam keadaan keabsahan dan legitimasi dipertikai, siapa yang akan datang melabur?" soalnya.

Pada Selasa, Muhyiddin dalam Perutusan Khasnya memaklumkan, satu usul percaya terhadap beliau akan dibentangkan di Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan jawatannya serta kerajaan semasa.

Bagaimanapun beberapa pihak, termasuk Blok Pembangkang bertegas ia perlu disegerakan.

[TERKINI] Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin | 04 Ogos 2021