KUALA LUMPUR : Pengasas Bersama UNDI18, Tharma Pillai berharap pemilihan orang muda dan muka baharu sebagai Exco Kerajaan Negeri di Johor akan menjadi ikutan negeri-negeri lain mahupun di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Jelasnya, langkah itu bagi melahirkan pemimpin yang mampu memberikan idea-idea baharu terutama dalam keadaan negara berdepan pandemik COVID-19.

"Maka apa yang kita dapat lihat dalam 3, 4 tahun ini adalah adanya perubahan politik, perubahan sentimen rakyat dan saya rasa ini adalah a moment in time yang boleh beri peluang kepada pemimpin muda di negeri Johor.

"Saya harap ini akan menjadi signal kepada negeri lain kepada negeri lain dan peringkat persekutuan untuk beri peluang kepada muka baharu. Kita bukan nak minta mereka yang terlalu muda tetapi kita mahu muka baharu diberi peluang sebab mungkin mereka ada idea baharu, terutama zaman ini yang ada teknologi baharu, dan zaman baharu yang memerlukan orang yang peka untuk menjadi pemimpin.

"Saya harap ini akan jadi kejayaan kepada Johor dan diikuti negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa.

Sebelum ini, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan Exco di hadapan Sultan Ibrahim Iskandar di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene dengan 70 peratus daripadanya adalah orang muda berusia bawah 40 tahun.

Mengulas lanjut, jelasnya, pelantikan 10 muka baharu dan muda Exco Negeri itu adalah wajar dengan mood rakyat yang mahukan pembaharuan untuk membangunkan Johor.

"Ada sentimen yang mendambakan perubahan itu. Kalau saya tengok kenyataan Kerajaan Negeri Johor bahawa 100 peratus mereka yang dipilih adalah muka baharu dan 70 peratus adalah mereka berumur bawah 40 tahun.

"Maka ini adalah suatu yang teramat bagus terutama pada zaman pandemik ini di mana kita banyak melihat ketidakstabilan dalam era yang semakin sukar ini.

"Kita memerlukan idea baharu untuk kerajaan negeri mencipta polisi-polisi baharu supaya mereka boleh membawa rakyat kepada cara yang lebih bagus.

"Mereka bukan sahaja muda, tetapi juga ada kredibiliti dan ini akan menjadi yang lebih baik untuk lima tahun akan datang," ujarnya lagi.