ISKANDAR PUTERI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini sebulat suara meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 (Pindaan) 2021 bagi menurunkan kelayakan had usia calon bertanding pilihan raya, daripada 21 kepada 18 tahun.

Cadangan pindaan had umur terhadap Fasal 16 Bahagian 2, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor itu dikemukakan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.

Ia disokong Ahli DUN (ADUN) Semarang Datuk Samsolbari Jamali dan diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga. 

Perkara itu dimaklumkan Speaker Suhaizan Kaiat pada Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14 di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Dalam pembentangannya, Hasni berkata, semua pihak tidak perlu berbalah soal kematangan usia individu 18 tahun itu, sebaliknya melihat pindaan undang-undang terbabit secara holistik.

"Kita harus melihat pindaan ini secara holistik, memfokuskan kepada pemberdayaan golongan muda.

"Sesungguhnya, komitmen Kerajaan Negeri dalam memberdaya golongan muda tidak harus dipersoalkan.

"Seperti contoh, melalui Belanjawan Johor 2021, Agenda Orang Muda Johor (OMJ) telah dijenamakan bagi memberi identiti kepada inisiatif yang direncanakan," katanya.

Enakmen tersebut akan berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan pihak berkuasa negeri melalui pemberitahuan dalam warta.

Sebelum pindaan itu diluluskan, empat ADUN mengambil bahagian dalam perbahasan iaitu ADUN Panti Hahasrin Hashim, ADUN Stulang Andrew Chen Kah Eng, ADUN Tenggaroh K Raven Kumar dan ADUN Pulai Sebatang Muhammad Taqiuddin Cheman.

Dengan perkembangan ini, Johor menyertai Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan yang meluluskan pindaan itu bagi menurunkan had umur warganegara yang layak menjadi ADUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun.