KUCHING: Tiada keperluan untuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mewujudkan sayap baharu melibatkan golongan belia susulan penurunan had umur layak mengundi kepada 18 tahun.

Mengulas perkara itu kata Naib Presiden PBB, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, menjelaskan parti tersebut sudah mempunyai sayap Pergerakan Pemuda dan Wanita yang melaksanakan peranan sama.

“Kemungkinan parti akan membuat perubahan sama ada untuk menubuhkan sayap putera dan puteri, tetapi bagi saya secara peribadi, memang tidak perlulah tapi kemungkinan pucuk pimpinan parti akan melihatnya di peringkat lain.

“Kita (PBB) sudah ada sayap wanita dan pemuda dan ia terpulang kepada pemuda dan juga wanita untuk dalam sayap mereka sendiri untuk membuat jawatankuasa kecil ataupun sub-sayap untuk memastikan pergerakan mereka yang berumur 18 dan sebagainya mesti ada dalam jawatankuasa mereka (Pemuda dan Wanita PBB),” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak itu berkata demikian ketika mengulas pertanyaan media mengenai kemungkinan perancangan PBB untuk menubuhkan Sayap Putera dan Puteri dalam usaha menarik penyertaan belia dalam parti berkenaan.

Setakat ini tambah Abdul Karim perkara itu belum dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi PBB.

Namun jelasnya ia mungkin diketengahkan dalam perbincangan bagi mendapatkan kata putus sama ada mahu mewujudkan pembaharuan atau kekal dengan sayap sedia ada.

“Pada masa ini belum lagi ada perbincangan berkenaan dengan itu kerana kita percaya pergerakan pemuda dan wanita dalam parti PBB mereka ada perancangan mereka sendiri bagaimana hendak mendekati diri dengan golongan golongan 18 tahun ini seperti yang dikatakan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali tadi kalau dalam pergerakan wanita mereka ada beliawanis dan sebagainya ,” katanya.

Bagaimanapun jelas Abdul Karim, ia merupakan perspektif PBB bagi mewujudkan transformasi dalam parti.

Namun sekiranya parti komponen lain dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) ingin menubuhkan sayap baharu, kata Abdul Karim ia terpulang kepada mereka.