KUALA LUMPUR: Mengadakan pilihan raya yang 'tidak direstui' rakyat dan memandang rendah pada kuasa pengundi boleh membawa kepada situasi yang tidak diingini oleh parti politik.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM, Mujibu Abdul Muis berkata, keyakinan parti politik tidak mustahil akan menjadi sebaliknya dan tidak diterjemahkan dalam bentuk keputusan yang dimahukan, atas dasar rakyat tidak selesa dan bermotivasi untuk keluar mengundi.

"Negeri-negeri yang hanya mungkin terlibat dalam pilihan raya umum serentak hanya melibatkan Perlis,  Perak dan Pahang. Negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Harapan dan Pas seperti Kelantan, Terengganu Kedah, Selangor dijangka tidak mengambil bahagian.

"Situasi ini berpotensi membunuh motivasi pengundi kerana mereka berpendapat kena mengundi dua kali.  Mereka yang bertugas juga tidak bermotivasi sebab mereka terpaksa tinggalkan kerja hakiki untuk bantu PRU.

"Kalau ini berlaku, ini tidak bagus untuk demokrasi. Harus diingat, yang perlu diutamakan ialah pengundi bukan parti politik," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Khamis.

Jelasnya, apa yang menjadi spekulasi ketika ini ialah hanya cepat atau lambat pembubaran Parlimen, namun apa dipersoalkan ialah kesesuaian melaksanakan PRU dengan jangkaan berlakunya bencana banjir.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tambah beliau, diyakini tidak mempunyai masalah dan pastinya akan bersedia dengan semua prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan, namun persepsi orang ramai tentunya berbeza.

"Isunya bukan SOP dari pihak SPR kerana mereka mesti bersedia. Yang menjadi persoalan ialah persediaan pengundi, apakah mereka sanggup menempuh susah payah atau terus hilang semangat.

"Kita sendiri lihat motivasi pengundi semasa pilihan raya negeri yang dijalankan dalam tempoh pandemik, peratusan keluar mengundi tidak begitu tinggi apa lagi kalau berhadapan dengan bencana kemusnahan seperti banjir," katanya lagi.

PRU15 | Pengundi korban cita-cita politik?