NEW YORK: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru supaya transformasi dalam struktur politik dan ekonomi global diwujudkan, khususnya dengan menghapuskan kuasa veto dan memperbaharui struktur monetari dunia.

Ketika berucap selama 23 minit dalam bahasa Melayu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 pada 5 petang Jumaat waktu tempatan, beliau meletakkan harapan pada masyarakat antarabangsa supaya mengambil iktibar daripada cabaran-cabaran yang bersaling kait, terutamanya pandemik COVID-19.

“Dalam dunia yang saling terkait, dasar dan keputusan sesetengah negara mampu memberi kesan kepada negara lain.

“Misalnya, dalam mendepani cengkaman inflasi yang melanda dunia, dasar monetari dan penetapan kadar faedah oleh sesebuah negara turut memberi impak kepada negara-negara lain,” ujarnya.

Ucapan Perdana Menteri sempena Perhimpunan Agung PBB ke-77

Justeru, tegasnya, Malaysia menggesa negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mewujudkan suatu mekanisme kerjasama monetari antarabangsa bagi membina sistem yang lebih efektif, adil, serta mampu mengimbangi keperluan pembangunan sejagat.

Selain perubahan dalam struktur ekonomi, Ismail Sabri turut bercakap tentang keperluan untuk mengatasi kepincangan sistem tadbir urus global dan PBB yang dilihat mengakibatkan konflik termasuk di Ukraine, Palestin dan Myanmar “tidak dapat diselesaikan”.

“Masalah yang paling besar di PBB adalah Majlis Keselamatan. Kuasa veto sering kali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya.

"Ia tidak demokratik dan melanggar prinsip asas demokrasi.

“Selaras dengan prinsip satu negara satu undi, sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan.

"Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia,  PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya,” tegas beliau.

Mengenakan busana baju Melayu berwarna hitam, Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri pertama menyampaikan kenyataan negara dalam bahasa kebangsaan sepenuhnya.

Turut mencipta sejarah apabila sesi debat umum ketika beliau berucap dipengerusikan oleh Wakil Tetap Malaysia di PBB, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin yang juga memakai baju Melayu.