Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini mengorak langkah menyuburkan aspek penyelidikan dalam kalangan warganya melalui pengumuman Pakej Rangsangan Penyelidikan Pasca COVID-19 UniMAP 2020 yang membabitkan dana keseluruhan berjumlah lebih RM1 juta.

Antara lain, pengumuman yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook rasmi universiti, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, sebanyak 11 inisiatif penyelidikan telah dirangka bagi meningkatkan lagi prestasi UniMAP dalam aspek penyelidikan.

“Dalam situasi negara dan dunia keseluruhannya yang masih terkesan dengan isu COVID-19, pelbagai perancangan dan aktiviti penyelidikan terganggu terutama yang melibatkan pergerakan fizikal termasuk penganjuran persidangan dan penyertaan dalam pameran penyelidikan.

“Justeru, setelah megambil kira semua kekangan dan permasalahan, saya bersama-sama Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UniMAP telah bersetuju untuk mewujudkan insentif berbentuk dana bagi membolehkan para penyelidik kekal menjalankan aktiviti pennyelidikan dan penerbitan jurnal dalam situasi normal baharu,” ujarnya.

Mengulas lanjut, R Badlishah berkata, apa yang UniMAP tawarkan ini bukanlah sesuatu yang mewah sebaliknya ia hasil dari dapatan kajian, maklum balas dari penganjuran bengkel dan input-input yang disalurkan oleh para penyelidik sendiri dengan peruntukan tersebut akan disalurkan secara adil kepada semua gred perjawatan akademik.

Ujar beliau, Geran Fundamental UniMAP diberikan peruntukan terbesar iaitu RM200,000 yang akan menyediakan peluang untuk pensyarah memohon geran bagi menjalankan 25 projek penyelidikan iaitu lima projek berasaskan Sains dan Teknologi serta 20 projek berasaskan Sains Sosial.

Beliau berkata, satu lagi inisiatif yang menerima peruntukan dengan nilai sama RM200,000 ialah menerusi Geran Penyelidikan Bahan iaitu geran khas untuk pembelian bahan-bahan penyelidikan termasuk barang pakai habis khas untuk kumpulan penyelidikan di 10 buah pusat pengajian atau fakulti.

Tambah beliau, dua lagi inisiatif yang menerima peruntukan besar ialah inisiatif Dana Penerbitan Prosiding Persidangan anjuran UniMAP bernilai RM188,050 dan insiatif Dana Pascadoktoral Dalaman bernilai RM108,000.

Menurut beliau, bagi menggalakkan aktiviti pengkomersialan, UniMAP juga turut menyediakan Geran Pra-Pengkomersialan khusus bagi para penyelidik yang telah mempunyai produk yang telah mempunyai paten atau mana-mana harta intelek berkaitan.

“Umum mengetahui UniMAP sebagai sebuah universiti berteraskan kejuruteraan, namun bagi menyemarakkan aktiviti dan meningkatkan output penyelidikan dalam bidang sains sosial serta sains gunaan (Matematik), sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan (COE) yang baharu telah diwujudkan iaitu COE Social Innovation and Sustainability menjadikan jumlah COE yang terdapat di UniMAP kini menjadi 10.

“Setiap satu COE ini akan turut dianggotai oleh seorang penasihat penyelidikan yang bertaraf Profesor yang turut membabitkan dua bekas Naib Canselor UniMAP iaitu Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dan Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

“Kesemua COE ini juga berpeluang memohon dana menerusi insentif khas iaitu Geran Penyelidikan Mentoring bernilai RM45,000 dengan syarat permohonan adalah melalui penasihat yang dilantik,” jelasnya lagi.

Permohonan untuk mendapatkan geran-geran berkenaan kini mula dibuka untuk diperhalusi kelulusan kelayakan.