KUALA LUMPUR: Universiti Al-Azhar Al-Sharif merupakan institusi agama berjaya melahirkan sejumlah besar alumni dalam kalangan anak tempatan sejak 50-an.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, alumni universiti berkenaan banyak memberi sumbangan signifikan khususnya dalam kemajuan Islam di negara ini.

“Ia memberi kesan kepada perkembangan dakwah Islamiah, kebangkitan fahaman kesedaran agama dan politik Islam.

“Jaringan hubungan antara lepasan Al-Azhar, agensi Kerajaan, badan bukan Kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi merupakan suatu perkembangan baik.

"Ini membuktikan kedudukan Malaysia yang menjadi tumpuan para ulama khususnya ulama Al-Azhar, Mesir,” katanya ketika ditemui di sambutan Hari Al-Azhar Sedunia 2023M/1444H di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Tambah Mohd Na’im, dalam amalan politik di negara ini, Malaysia menikmati tindakan sederhana dan selari dengan Dasar Wasatiyyah Al-Azhar.

“Negara kita tidak mengamalkan politik menindas non-Bumi atau non-Muslim, hak asasi diberikan kepada semua tanpa melihat kepada agama, kaum dan warna kulit,” katanya.

Sehubungan itu, sambutan Hari Al-Azhar sedunia memberi makna besar kepada umat Islam di Malaysia yang banyak terhutang budi di atas sumbangan pendidikan dan pemikiran yang dibawa oleh universiti terkemuka ini.

Universiti Al-Azhar Al-Sharif merupakan sebuah institusi agama dan pendidikan Islam yang ditubuhkan lebih 1000 tahun lalu.

Universiti terulung ini juga berjaya membariskan tokoh ulama dan pemimpin Al-Ummah yang terbukti diterima selama ini oleh pelbagai lapisan masyarakat di seluruh dunia.

Pada majlis itu, turut dilancarkan terjemahan buku ‘Al-Qaul Al-Tayyeb’ dan buku ‘Memahami Pemikiran Melampau’ WOAG Malaysia.