KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih MYEG Services Bhd (MYEG) meningkat hampir dua kali ganda kepada RM150.71 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2022, daripada RM78.46 juta setahun sebelumnya.

Penyedia perkhidmatan e-kerajaan itu berkata keuntungan yang bertambah baik serta peningkatan hasil 3.7 peratus sebanyak RM162.62 juta adalah disebabkan terutamanya oleh penyambungan semula operasi penuh pusat e-perkhidmatan di seluruh negara, sumbangan yang lebih tinggi daripada perkhidmatan padanan pekerjaan pekerja asing, dan sumbangan daripada penjualan token Zetrix.

Keputusan yang lebih baik itu juga disebabkan pengiktirafan secara sekali sahaja bagi keuntungan nilai saksama dalam pelaburan hasil daripada penyenaraian pelaburan MYEG dalam Agmo Holdings Bhd pada 18 Ogos 2022, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Mengenai prospeknya, MYEG berkata lembaga pengarahnya optimistik namun berhati-hati terhadap prospek jangka panjangnya selain terus memperkenalkan perkhidmatan inovatif dengan memanfaatkan teknologi baharu di Malaysia dan juga di peringkat global.

"Dengan kerajaan menarik balik sekatan yang dilaksanakan semasa pandemik, MYEG kini telah memulakan usaha membawa blockchain ke barisan hadapan dengan memperkenalkan platform blockchain Lapisan 1, iaitu Zetrix.

"Pada masa yang sama, MYEG bekerjasama dengan rakan kongsinya untuk mengintegrasikan Zetrix dengan platform blockchain nasional China, iaitu Xing Huo.

Dengan kerjasama sedemikian, kumpulan akan dapat mula memperkenalkan perkhidmatan komersial yang boleh digunakan secara global," katanya.

-- BERNAMA