KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Maxis Bhd bagi suku keempat berakhir 31 Dis, 2020 merosot kepada RM319 juta berbanding RM353 juta pada suku keempat 2019.

Perolehan turut menyusut kepada RM2.26 bilion daripada RM2.59 bilion sebelum itu, kata syarikat telekomunikasi itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.

"Hasil daripada perkhidmatan turun kepada RM1.94 bilion berbanding RM1.99 bilion pada suku keempat 2019, sebahagian besar disebabkan kekurangan sementara pendapatan perayauan antarabangsa ekoran COVID-19.

"Bagaimanapun, ia diimbangi dengan pertumbuhan perniagaan perusahaan dan gentian'," katanya.

Syarikat telekomunikasi itu berkata hasil yang dicatatkan oleh pasca bayar turun sedikit sebanyak 2.2 peratus kepada RM967 juta disebabkan pengurangan Kadar Penamatan Mudah Alih dan kekurangan pendapatan perayauan antarabangsa.

"Hasil daripada perkhidmatan prabayar bagi suku keempat 2020 susut 11.1 peratus kepada RM696 juta daripada RM783 juta pada suku keempat 2019," katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Gokhan Ogut berkata melangkah ke hadapan, syarikat telekomunikasi itu terus yakin dengan prestasi syarikat dalam norma baharu.

Bagaimanapun, beliau berkata syarikat itu akan terus membangunkan penyelesaian yang lebih inovatif selain mudah alih, dan mewujudkan peluang pertumbuhan baharu untuk perniagaan di semua industri.

-- BERNAMA