Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa rundingan mengenai penurunan kuasa daripada beberapa jabatan persekutuan kepada kerajaan Sarawak dan Sabah berjalan dengan lancar.

Pemangku Presidennya Datuk Madius Tangau berkata kenyataan itu berupa jaminan oleh Perdana Menteri bahawa Sabah dan Sarawak akan mempunyai kuasa yang lebih dalam membuat keputusan.

Beliau berkata jaminan itu selaras dengan memorandum 10 perkara UPKO yang diserahkan selepas mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam, yang menekankan penurunan kuasa yang lebih besar dan efektif bagi Sabah.

"Bagi UPKO, penurunan kuasa kepada Sabah dan Sarawak adalah pelaksanaan berkesan perjanjian Malaysia yang ditandatangani pada 1963.

Kami percaya terdapat beberapa perkara dalam perjanjian itu yang tidak dilaksanakan dan dikuatkuasakan dengan efektif," katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini.

Pada awal hari ini, ketika berucap pada perasmian Projek Lebuhraya Pan Borneo jajaran Teluk Melano-Sematan di Sematan, kira-kira 100km dari Kuching, Najib berkata konsep itu membolehkan keputusan berkaitan kepentingan kedua-dua negeri berkenaan, dibuat tanpa merujuk kepada Putrajaya.

Turut hadir pada upacara itu ialah Madius yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.