KUALA LUMPUR : Peminjam bagi kategori B50 di bawah Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) dapat menikmati lanjutan bantuan bayaran balik sehingga dua tahun lagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat sebagai usaha meringankan beban rakyat.

Beliau memaklumkan, mereka yang berminat mendapatkan manfaat ini, permohonan URUS masih dibuka sehingga 31 Januari 2022.


“Saya turut meminta bank-bank untuk tidak mengenakan tindakan undang-undang terhadap peminjam-peminjam yang gagal membayar semula pinjaman sebaliknya peminjam boleh berbincang dengan pihak bank untuk menstrukturkan semula kaedah bayaran balik pinjaman.

“Bagi meringankan beban rakyat, moratorium yang akan tamat pada 31 Disember ini akan disambung lagi selama dua tahun kepada peminjam B50 ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia juga telah meningkatkan nilai ambang kebankrapan kepada RM100,000.

Selain itu, Ismail Sabri menyatakan kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif dalam membantu rakyat menerusi Bajet 2022.

“Antaranya adalah, Bantuan Keluarga Malaysia, bantuan awal persekolahan, rancangan makanan tambahan anak-anak miskin, PerantiSiswa Keluarga Malaysia, dan Program JaminKerja dan Latihan MySTEP.

“Kerajaan juga telah aktifkan semula Majlis Perlindungan Sosial (MySPC) bagi membentuk dasar keselamatan sosial yang komprehensif dan bersepadu bagi jangka masa panjang,” katanya lagi.