Kerajaan masih berupaya untuk membuat bayaran peringkat akhir Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada tahun ini kepada penerima mulai esok, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata kedudukan kewangan negara sekarang masih kukuh dan proaktif.

"Mengenai bayaran BR1M, jangan risaulah, kerajaan masih berupaya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Mengimarahkan Perpustakaan 1Malaysia Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini, hari ini.

Pembayaran peringkat akhir BR1M 2015 yang dijadual pada akhir September ini dipercepatkan mulai 21 Sept bersempena sambutan Aidiladha pada Khamis ini.

Melalui pengumuman Bajet 2015, pemberian BR1M pada tahun ini diagihkan kepada tiga peringkat dengan peringkat pertama pada 15 Jan dan peringkat kedua pada 28 Mei.

Dalam pada itu, Ahmad Husni tidak menolak kemungkinan kadar bayaran BR1M akan dinaikkan pada tahun depan untuk semua kategori penerima.

Katanya kerajaan akan memberi tumpuan kepada perbelanjaan yang lebih utama dan ini termasuk BR1M dalam Bajet 2016 yang dijadual dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Okt ini.

"Kita (kementerian) sedang menyediakan bajet. Buat masa ini kami melihat kepada kumpulan berpendapatan paling rendah. Mungkin (ada) tambahan kepada pendapatan isi rumah yang paling rendah...," katanya.

Beliau berkata apa yang sedang dihadapi setiap negara di dunia ketika ialah kejatuhan nilai mata wang masing-masing dan kerajaan telah mengambil tindakan proaktif dalam menangani perkara itu.

"Pendapatan negara dijangka tidak meningkat tinggi, tetapi memadai bagi kerajaan menggunakannya untuk mentadbir dan membuat perbelanjaan pembangunan negara," katanya.