BANGI: Usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di dalam negara dan antarabangsa adalah langkah jitu yang memberi identiti serta gesaan nasional kepada generasi akan datang, kata Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata sekiranya bahasa itu tidak diutamakan seperti yang dikehendaki Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menerusi Akta Bahasa Kebangsaan, maka rakyat akan tercicir seperti 'hilang bahasa hilang budaya, hilang budaya hilang negara'.

"Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kita jangan apologetic lagi. Kita terus jalan dan wujudkan istilah-istilah bahasa kebangsaan semula. Dulu banyak tentang kejuruteraan, perubatan dan teknikal tetapi sekarang buku-buku itu menampung habuk di almari.

"Kita hidupkan balik dewan bahasa dengan perkasa, hidupkan balik pengajaran bahasa dengan semua kemurniaan seperti pantun, seloka, gurindam, perumpamaan dan peribahasa. Dengan kemunculan azam baharu kerajaan ini, saya yakin kita akan maju tapi jangan seperti air bah," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Kenduri Budaya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan penubuhan Tabung Istana Puteri Bongsu di sini hari ini, Rais berkata Akta Bahasa Kebangsaan yang wujud sekarang perlu diterjemahkan dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan yang mencerminkan identiti sendiri.

Dalam pada itu, beliau berkata pantun harus diiktiraf sebagai bukan sahaja literasi dunia tetapi juga tamadun asal kepada penduduk rantau ini khasnya wilayah nusantara dan harus dijadikan sebagai suatu elemen atau unsur dalam budaya.

"Kementerian Pendidikan harus melihat semula pendidikan tanah air sama ada ia mengandungi unsur warisan ataupun tidak. Sekiranya tidak ada maka perlu ditambah kepada ilmu sedia ada tetapi tidak boleh didiamkan sahaja," katanya.

Selain itu, Rais menyeru supaya satu pusat budaya cerminan kehidupan bandar Melayu diwujudkan contohnya di Kenny Hills, Damansara atau Kampung Baru seperti yang diwujudkan bangsa lain seperti India di Brickfields dan masyarakat Cina di Jalan Petaling.

Pada majlis itu, Rais selaku Pengasas Yayasan Budi turut menyumbangkan RM50,000 kepada Tabung Istana Puteri Bongsu sebagai dana permulaan bertujuan menaja aktiviti kemasyarakatan berasaskan warisan ketamadunan Melayu, menubuhkan galeri artifak alam Melayu, menghidupkan suasana kawasan sekeliling dengan kawasan rekreasi yang bersesuaian dengan suasana istana lama seperti berkuda, memanah dan permainan tradisional Melayu.

-- BERNAMA