Usaha Malaysia sediakan akses terbaik kesihatan dapat pengiktirafan

Bernama
Januari 7, 2017 04:03 MYT
Pengukuhan dolar Amerika, penerbangan murah, kenaikan kos rawatan kesihatan di Barat sejak sedekad lalu secara tidak langsung melonjakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan terbaik. - Foto: tropicanamedicalcentre.com
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha Malaysia untuk menggalakkan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan telah mendapat pengiktirafan.
Beliau berkata Malaysia telah mendapat penarafan tertinggi dalam kalangan empat negara, yang memiliki penjagaan kesihatan terbaik di dunia oleh sebuah majalah bulanan 'International Living'.
"Kedudukan teratas kita dalam '@inliving's Best Heathcare In The World' adalah merupakan satu pengiktirafan ke atas usaha kita untuk mempromosikan penjagaan kesihatan yang berkualiti dan pada kos yang berpatutan.
"Saya sering menegaskan bahawa semua rakyat Malaysia mesti mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan, tidak kira di mana mereka berada," katanya dalam Twitter beliau @NajibRazak malam semalam.
Pada Khamis, majalah itu menerbitkan satu artikel mengenai 'Empat Negara Yang Menawarkan Penjagaan Kesihatan Terbaik Di Dunia' dan Malaysia diberi kedudukan teratas diikuti Costa Rica, Colombia dan Mexico.
Majalah itu melaporkan satu daripada keprihatinan setiap individu yang ingin bersara di luar negara ialah kualiti penjagaan kesihatan.
"Di setiap negara ini anda akan dapati hospitalnya adalah bersih dan menawarkan perkhidmatan terbaik, doktor yang terlatih serta kos yang berpatutan," menurut artikel itu.
Laporan tersebut boleh dilayari di https://internationalliving.com/2017/01/4-countries-best-healthcare-world/
-- BERNAMA
#Hospital #Malaysia #Najib Razak #pusat kesihatan #rawatan kesihatan