JOHOR BAHRU: Usaha memelihara Bahasa Melayu perlu bersifat holistik melibatkan semua serta tanggungjawab bersama antara kerajaan, swasta dan juga masyarakat negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad berkata dalam konteks Keluarga Malaysia, ibarat lidi segenggam, kebersamaan untuk menjulang martabat Bahasa Melayu yang menyatupadukan rakyat di negara ini semestinya sangat dituntut.

Beliau berkata selama ini terutamanya di zaman sekarang, ada segelintir lebih cenderung menggunakan bahasa rojak dalam pertuturan harian.

"Sedangkan, hari ini telah terbukti bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa yang turut diamalkan oleh bangsa lain di peringkat antarabangsa.

"Kita patut mengubahnya kerana kitalah yang sepatutnya mendokong Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan kita," kata beliau ketika berucap pada malam kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini malam tadi.

Perasmian malam kemuncak itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sementara Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad turut hadir di majlis itu.

Noraini berkata umpama melentur buluh dari rebungnya, pembudayaan ini perlulah bermula di peringkat awal lagi khususnya di rumah dan juga di institusi pengajian ilmu.

Beliau berkata keupayaan peserta luar negara menyertai PABM membuktikan Bahasa Melayu mempunyai daya saing di persada antarabangsa.

Katanya, ia secara tidak langsung menjadi peringatan kepada segelintir masyarakat untuk berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan dengan sempurna.

PABM 2021 mengumpulkan seramai 78 peserta dari 36 negara yang bertanding dalam tiga kategori iaitu pelajar antarabangsa, alam melayu dan pelajar antarabangsa yang telah menetap di Malaysia.

Seramai sembilan finalis berentap di malam kemuncak dalam tiga ketegori itu yang disiarkan secara langsung di TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM).

-- BERNAMA