Baybees&Todds (BB&T) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS (PICOMS) untuk membangunkan pelbagai pengisian dan kandungan program latihan Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECE), dalam usaha meningkatkan dan mendidik pelajar dan pengamal.

Kerjasama unik ini adalah yang pertama seumpamanya antara organisasi yang didedikasikan untuk pendidikan awal kanak-kanak. Ia akan menyaksikan BB&T menyumbang kepakaran dan pengalamannya dalam komunikasi dan pembangunan kandungan untuk menyokong PICOMS dalam Program Diploma ECE. PICOMS, sebuah Institut Pengajian Tinggi, memberi tumpuan kepada pendidikan pelajar termasuk latihan, program penyelidikan dan aktiviti untuk meningkatkan ECE di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif BB&T, Zaim Izkandar Zaini berkata: “Kerjasama ini akan memberi  peluang kepada kami berkongsi kepakaran dalam bidang komunikasi, pemasaran dan pembangunan kandungan dengan pensyarah PICOMS serta berkolaborasi dalam penyelidikan dan pembangunan yang berkaitan dengan Pendidikan Awal Kanak-kanak. Melalui kolaborasi ini diharapkan ECE akan dilihat sebagai aspek perkembangan kanak-kanak yang sangat penting, dan seterusnya membuka jalan ke arah mewujudkan keusahawanan berdasarkan ECE serta mewujudkan permintaan untuk perkhidmatan ini,".

Naib Canselor PICOMS Prof Dr Wan Mohd Azizi Wan Sulaiman berkata: "PICOMS akan menyediakan kemudahan latihan, penyelidikan, program pengajian dan aktiviti yang berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak dan berkongsi kepakaran dalam program yang berkaitan dengan pendidikan serta bekerjasama untuk membangunkan produk.

"Kami juga akan menyediakan pengisian program Pendidikan Awal Kanak-kanak untuk dikongsi di platform multimedia BB&T dan juga platform syarikat sekutunya, bzBee Consult Sdn Bhd. PICOMS juga akan membantu mempromosikan jenama BB&T dalam kalangan pelajar ECE kami serta pihak berkepentingan kami yang lain,” tambah Prof Dr Wan Mohd Azizi.

Menurut Pengerusi Eksekutif BB&T, Prof Mohd Said Bani CM Din, hala tuju perniagaan BB&T adalah untuk menjadi pusat sehenti yang menghasilkan pelbagai produk dan perkhidmatan untuk bayi dan kanak-kanak kecil. Syarikat ini dibentuk oleh dan akan dikendalikan ibu bapa yang juga usahawan muda yang berminat dalam pelbagai bidang berkaitan perkembangan bayi dan kanak-kanak termasuk ECE. ECE adalah aspek penting dalam melahirkan anak-anak yang berkeyakinan, cerdas dan serba boleh yang akan menjadi pemimpin bangsa pada masa hadapan.

Melalui kolaborasi ini, PICOMS antara lain akan menyediakan pelajar dan program latihan yang relevan, kemudahan penyelidikan, program dan aktiviti yang berkaitan dengan ECE, perkongsian kepakaran, pembangunan produk dan pelbagai kandungan ECE untuk dibangunkan lebih lanjut oleh BB&T. PICOMS juga akan mempromosikan jenama BB&T dalam kalangan pelajarnya.

MOU ini menyaksikan BB&T meyumbang kepakarannya dalam program latihan PICOMS, pembangunan pengisian ECE, perkongsian kepakaran terutama dalam bidang komunikasi, promosi, pemasaran dan pembangunan kandungan berkaitan dengan modul ECE PICOMS.

MoU ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif BB&T Zaim Izkandar Zaini dan Prof Dr Wan Mohd Azizi dari PICOMS. Ia juga disaksikan oleh Pengerusi Eksekutif BB&T Prof Mohd Said Bani CM Din. Majlis diadakan di Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS.