SEJUMLAH lebih 2.34 bilion dos vaksin COVID-19 sudah didaftarkan atau disuntik di seluruh dunia sehingga Sabtu.

Data ini menunjukkan pertambahan puluhan juta dos berbanding hari sebelumnya.

Menurut data Johns Hopkins University, China mendahului dengan 878,523,000 dos vaksin yang sudah didaftarkan.

Ia diikuti Amerika Syarikat sebanyak 308,940,930 dos dan India dengan 253,195,048 dos vaksin.

Negara lain yang mencatat jumlah pemberian vaksin melebihi 70 juta dos adalah United Kingdom dan Brazil.

Manakala Jerman sudah mendaftarkan 60 juta dos, Perancis 44 juta dan Itali 42 juta.

Di Asia Tenggara, Indonesia terus mendahului dengan jumlah dos yang didaftarkan sebanyak 31,603,325, jauh meninggalkan negara lain.

Filipina berada di kedudukan kedua dengan 6,314,548 dos didaftarkan, diikuti Thailand dengan 5,975,070 dos, Singapura, 4,392,067 dos dan Malaysia, 4,227,554 dos.