KUALA LUMPUR: Golongan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun yang menerima vaksin COVID-19 di negara ini semakin bertambah dan menghampiri angka satu juta.

Sehingga Jumaat, 974,355 atau 27.4 peratus golongan berkenaan telah menerima dos pertama.

Sebanyak 21,460 dos tambahan diberikan semalam menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kanak-kanak (PICKids).

PICKids dilancarkan 3 Februari lepas dengan kerajaan menetapkan sela masa selama lapan minggu antara dos pertama dan kedua.

Ibu bapa dan penjaga boleh membawa anak masing-masing untuk mendapatkan vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kanak-kanak (PICKids) secara jumpa terus di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) terpilih bermula 1 Mac lepas.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan 70 peratus daripada empat juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima vaksin menjelang akhir bulan ini.