KUALA LUMPUR: Seramai 22,409,335 individu atau 95.7 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat Rabu.

Berdasarkan data portal COVIDNOW, 97.8 peratus atau 22,891,080 populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara itu, seramai 24,607,296 individu atau 75.3 peratus daripada populasi keseluruhan telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Manakala 78.1 peratus atau 25,513,386 daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi populasi remaja pula, seramai 2,197,961 individu atau 69.8 peratus telah melengkapkan dua dos dan 2,622,306 individu atau 83.3 peratus mendapat satu dos.

Sementara itu, data kemajuan Program Imunisasi mengikut Negeri bagi populasi keseluruhan menunjukkan hanya Kedah, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Sabah masih merekodkan kadar vaksinasi di bawah 70 peratus.

Terdapat pertambahan 114,573 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi dewasa dan remaja.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 50,420,916 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.