Vaksin COVID-19: ASEAN perlu utamakan blok serantau - Hishammuddin

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 7, 2020 12:17 MYT
Menurut Hishammuddin, COVID-19 telah menyedarkan kita untuk tidak lagi berada dalam zon selesa selain perlu menerokai bidang kerjasama baharu yang boleh memberi manfaat bersama. - Foto Media Team H2O
Negara anggota ASEAN perlu mengutamakan blok serantau itu dalam usaha mendapatkan vaksin COVID-19.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Malaysia kekal dengan pendirian supaya vaksin tersebut boleh didapati secara adil, mudah diakses dan berpatutan.
Malah katanya, ASEAN perlu meletakkan kedudukannya sebagai pusat pengeluaran atau pengedaran vaksin bagi mengurangkan kos selain memacu ASEAN sebagai rantau inovasi teknologi bio.
"Tatkala dunia sedang berusaha mencari vaksin COVID-19, ASEAN yang berkependudukan 650 juta perlu mencari jalan untuk kekal teguh dalam komitmennya untuk memastikan ASEAN diutamakan dalam pengembangan dan pengedaran vaksin pada masa akan datang," katanya ketika berucap pada sambutan Hari ASEAN Ke-53 di Wisma Putra pada Jumaat.
Justeru, beliau berpandangan ASEAN perlu mengutamakan diplomasi vaksin di mana tidak ada negara yang akan kembali normal tanpa vaksin untuk mengekang pandemik tersebut.
"Dalam setiap krisis, ada peluang yang terselindung. Diplomasi vaksin adalah salah satu daripadanya yang mana COVID-19 telah menyedarkan kita untuk tidak lagi berada dalam zon selesa selain perlu menerokai bidang kerjasama baharu yang boleh memberi manfaat," katanya.
Hadir sama pada majlis itu adalah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.
Bercakap pada media selepas majlis tersebut, Hishammuddin berkata beliau telah menyuarakan perkara itu di peringkat ASEAN semasa perbualan telefon bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo dan Menteri Luar China, Wang Yi.
Ujarnya, anggota ASEAN perlu mengguna peluang sebagai satu suara apabila berdepan kuasa besar.
"Tiada guna sekiranya hanya Malaysia sahaja yang berjaya mendapatkan vaksin COVID-19 sedangkan negara jiran lain masih berdepan cabaran pandemik itu," katanya.
#Amerika Syarikat #ASEAN #China #COVID19 #Hishammuddin Hussein #koronavirus #Nancy Shukri #pandemik #Vaksin COVID19 #Wisma Putra